Skip to main content

Dunia

Australia failkan saman AS$1.4 bilion terhadap 3M berhubung buih pemadam api PFAS

The 3M chemical manufacturer's building is seen in a suburb of Sydney, Thursday, May 28, 2026. (AP Photo/Mark Baker)
Kerajaan Australia mendakwa 3M, pengeluar buih pemadam api itu, menyembunyikan keputusan ujian dalaman yang menunjukkan kesan alam sekitar yang serius berkaitan bahan kimia terbabit. - AP

CANBERRA: Kerajaan pusat Australia memfailkan saman bersejarah terhadap 3M dan subsidiari tempatannya, menuntut ganti rugi sebanyak A$2 bilion (kira-kira AS$1.4 bilion) berhubung pencemaran yang disebabkan oleh buih pemadam api 3M yang mengandungi bahan kimia PFAS, lapor Xinhua.

Peguam Negara Michelle Rowland berkata tuntutan itu, yang merupakan saman terbesar pernah difailkan oleh kerajaan pusat Australia berkaitan pencemaran di 28 tapak pertahanan iaitu buih pembentuk lapisan akueus yang mengandungi PFAS digunakan selama beberapa dekad, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Khamis.

Kerajaan mendakwa 3M, pengeluar buih pemadam api itu, menyembunyikan keputusan ujian dalaman yang menunjukkan kesan alam sekitar yang serius berkaitan bahan kimia terbabit.

PFAS, yang dikenali sebagai “bahan kimia kekal”, kekal lama dalam alam sekitar dan dikaitkan dengan risiko kesihatan termasuk kanser, kolesterol tinggi dan berat lahir rendah.

Rowland berkata sektor pertahanan Australia dan pembayar cukai menanggung kos melebihi A$1 bilion untuk menyiasat, mengurus dan memulihkan pencemaran itu, sambil menjelaskan yang kerajaan berusaha mendapatkan semula kos berkenaan, menurut laporan ABC.

Pencemaran PFAS di Australia tertumpu di sekitar pangkalan tentera, dengan bahan kimia itu meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah. Bahan tersebut digunakan secara meluas sejak 1970-an sebelum dihentikan secara berperingkat mulai 2003, menurut laporan media.

Siasatan Senat baru-baru ini menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pengeluar dan menyeru pemantauan kesihatan serta sokongan komuniti diperluas bagi penduduk yang terjejas.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement