Skip to main content

Dunia

Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 2,295

A search-and-rescue dog works at the site of a collapsed building in the aftermath of the June 24 earthquakes in La Guaira, Venezuela, July 1, 2026. REUTERS/Ricardo Arduengo
Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di lokasi sebuah bangunan runtuh susulan gempa bumi pada 24 Jun di La Guaira, Venezuela, 1 Julai 2026. REUTERS

BOGOTA (COLOMBIA): Angka kematian akibat dua gempa bumi yang melanda utara Venezuela pada 24 Jun meningkat kepada 2,295 orang, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam taklimat nasional yang disiarkan menerusi saluran televisyen kerajaan, Venezolana de Television (VTV), Rodriguez berkata jumlah mangsa yang cedera meningkat kepada 11,267 orang, manakala seramai 12,841 penduduk dilaporkan terpaksa berpindah.

Beliau berkata lebih 4,000 anggota pasukan kecemasan yang dikerahkan ke kawasan terjejas berjaya mengeluarkan 6,461 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

"Harapan masih ada," katanya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 782 gegaran susulan direkodkan sejak dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda kawasan itu. 

Bagaimanapun, pakar seismologi mengesahkan kekerapan serta intensiti gegaran bawah tanah berkenaan semakin berkurangan sejak 48 jam lalu.

"Ancaman itu dilihat semakin berkurangan, namun belum berakhir," kata Rodriguez sambil menggesa orang ramai supaya terus berwaspada di sekitar bangunan konkrit yang mengalami kerosakan.

Berdasarkan penilaian awal data satelit yang diterbitkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), lebih 58,000 bangunan berkemungkinan rosak atau musnah akibat gempa bumi itu.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan secara intensif, dengan ribuan anggota penyelamat dari lebih 30 negara mengeluarkan mangsa yang terselamat daripada runtuhan pada Rabu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pihaknya sedang memperoleh 10,000 beg mayat bagi menyokong operasi pengurusan mangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement