GAZA: Angka korban akibat serangan berterusan Israel di Gaza meningkat kepada 72,939 rakyat Palestin, manakala 172,927 lagi cedera sejak Oktober 2023, menurut sumber perubatan di Semenanjung Gaza pada Ahad yang dipetik oleh Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa hospital-hospital di seluruh Gaza menerima seorang lagi mangsa yang baharu terkorban, seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan terdahulu, dan lapan mangsa cedera dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Mereka berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Okt 2025 kini mencecah 930 orang, manakala bilangan yang cedera meningkat kepada 2,819 orang.
Selain itu, sebanyak 781 lagi mayat telah ditemukan dari pelbagai kawasan di seluruh Semenanjung Gaza.
Pegawai perubatan memaklumkan bahawa beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalanan, berikutan ambulans dan pasukan penyelamat terus menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi ekoran keadaan semasa di lapangan.
Dalam perkembangan berasingan, sumber perubatan mengumumkan bahawa dewan bedah di Hospital Syuhada Al-Aqsa kini tidak dapat beroperasi selepas kesemua penjana kuasa elektriknya terhenti sepenuhnya.
Sumber itu memberi amaran bahawa krisis penjana kuasa telah mencapai tahap kritikal berikutan kerosakan pada penjana sandaran keempat hospital berkenaan.
Menurut mereka, penjana-penjana sandaran itu mengalami kehausan yang teruk selepas beroperasi tanpa henti selama lebih setahun dan tidak lagi mampu menampung keperluan harian bagi jabatan-jabatan kritikal di hospital itu.
Menurut sumber berkenaan, unit dialisis, penjagaan neonatal (bayi), unit rawatan rapi (ICU) dan perkhidmatan makmal kini berdepan risiko ditutup sepenuhnya sekiranya krisis itu semakin memuncak.
-- BERNAMA-WAFA