BRUSSELS: Anggota Parlimen Eropah (MEP) dari Itali, Danilo Della Valle pada Khamis berkata, beliau bersama 28 anggota Parlimen Eropah lain menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan hak asasi manusia terhadap Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan pihak lain yang bertanggungjawab terhadap penderaan aktivis flotila Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang dikongsi di platform X, Della Valle berkata, mereka menghantar surat kepada Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa bagi menggesa pengaktifan rejim sekatan hak asasi manusia global EU.
“Aktivis pertama daripada flotila yang pulang ke tanah air melaporkan insiden amat serius termasuk dipamerkan kepada umum dalam keadaan bergari dan berantai, keganasan fizikal serta psikologi, layanan menghina dan pencabulan maruah manusia,” katanya.
Beliau berkata, EU sudah mempunyai mekanisme untuk mengenakan sekatan bersasar terhadap individu dan entiti yang dituduh melakukan pencabulan serius hak asasi manusia.
“Mekanisme itu baru-baru ini digunakan terhadap apa yang dipanggil pendatang ganas dan kini perlu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam penderaan ini.
"Golongan fasis yang mentadbir Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka di muka pengadilan,” menurut anggota Kongres itu.
Gesaan berkenaan dibuat selepas video yang dimuat naik Ben-Gvir menunjukkan aktivis diikat menggunakan pengikat kabel dan dipaksa melutut selepas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Global Sumud Flotilla pada Selasa memaklumkan kesemua 50 kapal dalam konvoinya telah dirampas Israel.
Flotila yang membawa 428 orang dari 44 negara itu berlepas pada Khamis lepas dari daerah Marmaris di Turkiye dalam usaha baharu untuk memecahkan sekatan haram Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007.
-- BERNAMA-ANADOLU