Skip to main content

Dunia

Amaran Presiden Lubnan kepada Iran: "Bukan tugas anda campuri urusan kami"

Lebanese President Joseph Aoun gestures to journalists at the Presidential Palace, in Baabda, east of Beirut, Lebanon, Wednesday, May 21, 2025. (Photo: AP/Hassan Ammar)
Aoun berkata, Lubnan tidak seharusnya dijadikan medan percaturan kuasa luar. - Foto fail/AP

BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun menggesa Iran agar tidak campur tangan dalam urusan negaranya, selain menegaskan diplomasi sebagai satu-satunya jalan penyelesaian kepada konflik antara Hezbollah dan Israel.

Dalam wawancara yang disiarkan CNN pada Jumaat, Aoun berkata, Lubnan tidak seharusnya dijadikan medan percaturan kuasa luar.

“Ia bukan negara anda, ini negara kami… bukan tugas anda untuk campur tangan dalam negara kami,” katanya, merujuk kepada Kor Pengawal Revolusi Iran.

Beliau turut menuduh Tehran menggunakan Lubnan sebagai alat tawar-menawar dalam rundingannya dengan Amerika Syarikat.

“Mereka menggunakan Lubnan sebagai bahan tawar-menawar dalam rundingan dengan Amerika Syarikat. Ini tidak boleh diterima,” tegasnya.

Konflik di Lubnan semakin memuncak selepas Hezbollah melancarkan serangan roket ke atas Israel pada 2 Mac lalu, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel beberapa hari sebelumnya. 

Israel kemudiannya membalas dengan serangan besar-besaran termasuk operasi darat di wilayah Lubnan. 

Pada Rabu, wakil Lubnan dan Israel di Washington mencapai persetujuan gencatan senjata yang bergantung kepada penghentian sepenuhnya serangan oleh Hezbollah, tanpa sebarang jaminan penghentian serangan Israel.

Iran pula menegaskan, konflik di Lubnan berkait rapat dengan perang yang lebih luas di rantau Teluk, dengan kepimpinan Pengawal Revolusi menyeru Israel berundur dari barisan hadapan di Lubnan. 

Dalam masa sama, Aoun menegaskan, Hezbollah perlu menerima realiti bahawa rundingan adalah satu-satunya pilihan.

“Hezbollah perlu memahami bahawa tiada jalan lain selain duduk berbincang. Tiada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini dan menyelamatkan apa yang masih ada selain melalui rundingan dan diplomasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kumpulan pejuang itu tidak mewakili keseluruhan rakyat Lubnan.

“Ini rakyat Lubnan, bukan rakyat Naim Qassem,” katanya merujuk kepada pemimpin Hezbollah yang sebelum ini menolak perjanjian gencatan senjata.

Presiden itu menambah, majoriti rakyat Lubnan sudah penat dengan peperangan berpanjangan.

Walaupun beberapa percubaan gencatan senjata diumumkan sebelum ini, kedua-dua pihak dilihat gagal mematuhinya.

Aoun turut memberi amaran bahawa walaupun Israel mampu memusnahkan negara itu, ia tidak akan mencapai matlamatnya.

“Israel mungkin boleh meratakan seluruh negara, tetapi mereka tidak akan berjaya mencapai objektif mereka. Mereka telah mencubanya di Gaza, namun Hamas masih wujud,” katanya. 

Hezbollah merupakan satu-satunya kumpulan pejuang di Lubnan yang enggan melucutkan senjata selepas tamat perang saudara 1975-1990, dengan alasan mempertahankan wilayah selatan daripada pendudukan Israel. 

Aoun berkata terdapat peluang besar untuk menamatkan permusuhan antara Lubnan dan Israel, namun isu Hezbollah perlu ditangani secara dalaman.

“Ini tanggungjawab negara, tetapi dengan satu syarat – kita perlu menghapuskan punca kewujudan senjata itu,” katanya, merujuk kepada keperluan pengunduran Israel dan penamatan konflik.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru Israel menunjukkan komitmen untuk menamatkan perang.

“Anda perlu menunjukkan kesungguhan untuk menamatkan perang ini… kami bersedia dan komited. Adakah anda juga demikian?” soal beliau lagi. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement