KARACHI: Sekurang-kurangnya 24 maut manakala 82 orang yang lain cedera selepas satu letupan kuat menyebabkan sebuah kereta api kargo tergelincir di barat daya Pakistan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pegawai dan media tempatan.
Menurut 24 News, letupan itu berlaku di landasan kereta api di Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan di barat daya negara itu, menyasarkan kereta api yang menuju ke kawasan kantomen bandar berkenaan.
Bunyi tembakan turut kedengaran selepas letupan itu.
Jurucakap Hospital Awam Quetta berkata mangsa yang cedera dibawa ke kemudahan kesihatan dan keadaan darurat telah diisytiharkan.
Pembantu khas Jabatan Dalam Negeri wilayah itu, Babar Yousafzai memberitahu pemberita bahawa pasukan keselamatan dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian ketika polis berusaha mengenal pasti jenis letupan berkenaan.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan.
Balochistan, wilayah kaya dengan sumber mineral dan laluan penting bagi Koridor Ekonomi China-Pakistan bernilai berbilion dolar, sekian lama berdepan kegiatan militan dengan kumpulan pemisah menuntut “pembebasan” wilayah itu. - Agensi