Skip to main content

Dunia

2025 catat rekod tertinggi kanak-kanak jadi mangsa konflik bersenjata - PBB

81769655229_GAZA.jpg
Bilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa pelanggaran serius akibat konflik bersenjata pada 2025 mencatat rekod tertinggi sejak mandat mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata diperkenalkan 30 tahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Gambar fail

NEW YORK: Bilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa pelanggaran serius akibat konflik bersenjata pada 2025 mencatat rekod tertinggi sejak mandat mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata diperkenalkan 30 tahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Xinhua.

PBB mengesahkan sebanyak 38,558 kes pelanggaran serius terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata pada 2025, melibatkan 24,174 kanak-kanak, dengan ribuan daripada mereka mengalami lebih daripada satu bentuk pelanggaran, menurut laporan tahunan Setiausaha Agung PBB mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang dikeluarkan pada Rabu.

Buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, pasukan keselamatan kerajaan dikenal pasti sebagai pelaku utama pelanggaran serius terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata, menurut laporan itu.

Pembunuhan (6,266 kes) dan kecederaan atau kecacatan akibat konflik (7,958 kes) kekal sebagai pelanggaran yang paling banyak disahkan, dengan jumlah pembunuhan meningkat sebanyak 34 peratus berbanding 2024.

Penafian akses bantuan kemanusiaan serta perekrutan dan penggunaan kanak-kanak merupakan pelanggaran yang turut banyak direkodkan, dengan masing-masing mencatatkan 8,322 insiden dan menjejaskan 6,607 kanak-kanak.

Kanak-kanak terus diculik dalam bilangan yang tinggi, iaitu 5,129 kes, yang sering kali bertujuan untuk perekrutan dan penggunaan mereka oleh pihak yang terlibat dalam konflik atau bagi tujuan keganasan seksual. Rogol dan pelbagai bentuk keganasan seksual lain terus berlaku tanpa henti, dengan penggunaan rogol berkumpulan sebagai taktik peperangan disahkan meningkat.

Ranjau letupan darat  dan sisa bahan letupan perang terus menjadi ancaman serius kepada kanak-kanak, selain menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi.

Laporan itu menyatakan bahawa maklumat yang direkodkan hanya melibatkan kes yang telah disahkan oleh PBB dan tidak menggambarkan skala sebenar pelanggaran terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

"Tahun 2025 tanpa ragu-ragu merupakan antara babak paling gelap bagi perlindungan kanak-kanak sejak pemantauan bermula," kata Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata, Vanessa Frazier, dalam satu kenyataan media.

"Apabila negara yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak sebaliknya menyumbang kepada penderitaan mereka, ia menandakan hakisan yang lebih mendalam terhadap penghormatan kepada undang-undang antarabangsa. Prinsip kemanusiaan, pembezaan, perkadaran dan keperluan mesti dipulihkan semula -- tanpa pengecualian," katanya.

Seramai 1,667 kanak-kanak telah ditahan pada 2025 atas kaitan sebenar atau yang didakwa dengan pihak yang terlibat dalam konflik. Frazier menegaskan bahawa kanak-kanak berkenaan perlu dianggap sebagai mangsa, penahanan hanya wajar dijadikan langkah terakhir, manakala usaha penyepaduan semula mereka ke dalam masyarakat perlu diutamakan.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 mandat mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang diwujudkan oleh Perhimpunan Agung PBB.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement