Skip to main content

Dunia

15 pelancong India maut bot terbalik di Pulau Phu Quoc, Vietnam

Boat carrying tourists capsizes off Vietnam's Phu Quoc island, killing 15
Memetik pihak berkuasa tempatan, seramai 21 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian bot terbalik yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada 32 pelancong India, tiga kru kapal dan seorang petugas. - Gambar X @ngahpham

MANILA: Sekurang-kurangnya 15 pelancong warga India maut selepas sebuah bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan selatan Pulau Phu Quoc, Vietnam, pada Sabtu.

Menurut laporan media tempatan yang memetik pihak berkuasa, seramai 21 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.

Bot berkenaan membawa 36 penumpang yang terdiri daripada 32 pelancong India, tiga kru kapal dan seorang petugas.

Kedutaan India di Vietnam memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian tersebut dan telah menubuhkan pusat tindak balas kecemasan di Ho Chi Minh City serta Hanoi bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas.

“Kami sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden ini sementara operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan masih diteruskan,” menurut kenyataan kedutaan itu, sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu tragedi.

Pihak berkuasa memaklumkan, bot tersebut sedang dalam perjalanan dari Pulau Hon May Rut ke Pelabuhan An Thoi sebelum terbalik kira-kira 400 meter dari pesisir pantai.

Laporan turut menyebut, keadaan laut ketika kejadian bergelora dengan ombak besar melanda kawasan tersebut.

Phu Quoc, pulau terbesar di Vietnam, kini muncul antara destinasi pelancongan paling popular di negara itu dan semakin mendapat perhatian pelancong India sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement