JAKARTA: Seramai 13 orang maut manakala lima lagi cedera apabila sebuah trak pikap yang membawa rombongan tetamu majlis perkahwinan dirempuh dua lori di daerah Indramayu, wilayah Jawa Barat, Indonesia.
Ketua Polis Trafik tempatan, Undang Syarif Hidayat berkata kemalangan maut itu berlaku di laluan pantai utara berhampiran Kampung Kiajaran Kulon ketika kumpulan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Parean.
Mangsa dilaporkan menaiki sebuah trak pikap terbuka apabila kenderaan itu memperlahankan kelajuan sebelum berhenti berhampiran pembukaan pembahagi jalan untuk membuat pusingan U.
Bagaimanapun, sebuah lori jenis wing-box yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang trak pikap berkenaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terdorong masuk ke laluan bertentangan.
Sebuah lagi lori yang datang dari arah hadapan kemudian merempuh trak pikap tersebut, menyebabkan lebih sedozen penumpang tercampak ke atas jalan raya.
Syarif Hidayat berkata sebahagian besar mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Lima mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di hospital berhampiran manakala pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Kemalangan maut sering berlaku di Indonesia dan lazimnya dikaitkan dengan kenderaan membawa muatan berlebihan, tahap keselamatan jalan raya yang tidak mencukupi serta kegagalan mematuhi peraturan lalu lintas.