Skip to main content

Dunia

Eropah catat lebihan 10,000 kematian ketika gelombang haba

A person cools off at Trocadero fountain near the Eiffel Tower during a heat wave in Paris, on June 24, 2026. (AP Photo/Christophe Ena, File)
Haba melampau boleh membunuh dengan menyebabkan strok haba, atau memburukkan penyakit kardiovaskular dan pernafasan, dengan orang tua antara paling terdedah. - Gambar/ AP

BRUSSELS: Negara-negara Eropah melaporkan jumlah kematian lebih tinggi daripada kadar biasa, dengan lebihan kematian melebihi 10,000 orang, semasa gelombang panas melanda barat benua itu pada akhir Jun, lapor Agensi Berita Emirates (WAM), memetik data rasmi.

Sebilangan besar iaitu lebih ​9,000 kematian adalah dalam kalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas, menurut data yang diterbitkan oleh ‌EuroMOMO, rangkaian yang disokong oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Haba melampau boleh membunuh dengan menyebabkan strok haba, atau memburukkan penyakit kardiovaskular dan pernafasan, dengan orang tua antara paling terdedah.

"Memiliki lebihan seperti ini pada tempoh tahun ini adalah luar biasa. Ia benar-benar tinggi," kata Lasse Vestergaard, Ketua Pakar Perubatan di Institut Serum Statens Denmark, yang juga pangkalan EuroMOMO.

Menurut para saintis, gelombang haba lewat Jun "hampir mustahil" berlaku tanpa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, yang menjadikan gelombang haba lebih kerap dan teruk.

Data, dikumpulkan daripada statistik kematian negara di 27 negara Eropah, termasuk lebihan kematian daripada semua sebab, bukan hanya berkaitan haba, pada minggu 22 hingga 28 Jun, ketika gelombang panas memuncak di Perancis, Sepanyol, Britain dan negara lain.

-- BERNAMA-WAM

 

Must Watch Video

Advertisement