Skip to main content

Bisnes

Unifi Business bantu PMKS percepat transformasi digital sempena Hari PMKS 2026

[TB]_Unifi Business, PMKS_Unifi Business
Mohamad Yusman berkata, sambutan Hari PMKS yang diraikan setiap 27 Jun merupakan platform penting untuk mengiktiraf peranan PMKS sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara. - Foto Unifi Business

BUKIT MERTAJAM: Pendigitalan terus menjadi antara faktor utama yang menentukan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.

Sempena Hari PMKS 2026, Unifi Business mempergiat pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi, meluaskan pasaran serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital.

Naib Presiden Unifi Business, Dr. Mohamad Yusman Ammeran berkata, sambutan Hari PMKS yang diraikan setiap 27 Jun merupakan platform penting untuk mengiktiraf peranan PMKS sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Menurut beliau, sektor PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih lapan juta rakyat Malaysia.

“Sempena Hari PMKS, kita mahu terus membantu PMKS terutama dari aspek pemasaran dan pembangunan perniagaan.

“Antaranya melalui penganjuran program yang mempromosikan produk tempatan serta menggalakkan rakyat Malaysia menyokong usahawan tempatan dengan berbelanja dalam kalangan PMKS,” katanya ketika ditemui pada program Hari PMKS 2026 di MYDIN Mall Bukit Mertajam, di sini, pada Sabtu.

Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan digital PMKS, Mohamad Yusman berkata kajian menerusi program IMPAK BIZ mendapati kebanyakan PMKS masih berada pada peringkat kedua daripada lima tahap kesediaan digital yang dikenal pasti.

Image
[INSERT]_Unifi Business, PMKS 1_Unifi Business
PMKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding Unifi Business serta meneroka pelbagai penyelesaian digital yang ditawarkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan. - Foto Unifi Business

Justeru, katanya pelbagai program dan inisiatif diperkenalkan bagi membantu usahawan meningkatkan kemahiran digital serta memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perniagaan.

“Melalui program Sejahtera MADANI dan Usahawan Digital misalnya, kita membantu meningkatkan kemahiran PMKS, termasuk golongan B40, supaya mereka lebih bersedia menggunakan teknologi dalam operasi perniagaan,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara cabaran utama yang masih dihadapi PMKS ialah aspek pemikiran inovasi dan kemahiran menggunakan teknologi digital secara berkesan.

“Bukan sekadar kemahiran perniagaan, tetapi juga keupayaan menggunakan perisian, peralatan dan aplikasi digital untuk membantu mengembangkan perniagaan,” jelasnya.

Bagi PMKS yang ingin memulakan perjalanan digital, beliau menyarankan agar mereka terlebih dahulu menilai tahap kesiapsiagaan perniagaan menerusi penilaian IMPAK BIZ yang disediakan secara percuma di portal Unifi.

Penilaian itu merangkumi empat aspek utama iaitu operasi, penggunaan digital, interaksi pelanggan dan strategi digital, sekali gus membantu usahawan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam perniagaan mereka.

Image
[INSERT]_Unifi Business, PMKS 2_Unifi Business
Unifi Business amat mengalu-alukan agar PMKS memulakan langkah dengan penilaian kendiri kemudian menyertai program yang disediakan dan belajar daripada usahawan yang telah berjaya menggunakan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan. - Foto Unifi Business

Selain itu, PMKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding Unifi Business serta meneroka pelbagai penyelesaian digital yang ditawarkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.

Mohamad Yusman menggesa PMKS supaya tidak menangguhkan usaha pendigitalan dan mula mengambil langkah pertama dengan memanfaatkan pelbagai sokongan yang tersedia.

“Mulakan dengan penilaian kendiri, sertai program yang disediakan dan belajar daripada usahawan yang telah berjaya menggunakan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohamad Yusman turut dijadual menyertai program Jiwa SME 2026 yang akan berlangsung pada 27 Jun di NU Sentral, Kuala Lumpur.

Image
[INSERT]_Unifi Business, PMKS 3_Unifi Business
Secara keseluruhan, Unifi Business membuktikan komitmen bukan sahaja dalam menyediakan teknologi, tetapi turut membuka pentas untuk PMKS melakar pencapaian lebih membanggakan di era ekonomi digital. - Foto Unifi Business

Beliau akan tampil dalam sesi forum “Ekonomi Warisan: Minat atau Untung?” mengenai cabaran, peluang dan realiti membina perniagaan berasaskan warisan bersama Pengasas Sentosa Janda Baik, Omar Ariff dan Pengasas Infiniti Group, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Sesi tersebut dijangka mengupas bagaimana warisan dan identiti tempatan boleh diterjemahkan menjadi perusahaan yang mampan serta relevan untuk generasi masa depan.

Layari https://biz.unifi.com.my/impakbiz/home untuk maklumat lanjut.

Must Watch Video

Advertisement