KUALA LUMPUR: Pengelasan pendapatan isi rumah melibatkan kategori B40, M40 dan T20 perlu dinilai semula kerana tidak lagi mencerminkan realiti sebenar kos sara hidup rakyat.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusof berkata pendekatan sedia ada dilihat kurang tepat dalam menyasarkan subsidi kerana ia tidak mengambil kira perbezaan ketara antara lokasi, tanggungan isi rumah serta tahap perbelanjaan harian rakyat.
"Sejak dahulu lagi kita meletakkan kategori kepada rakyat Malaysia seperti T15, T20, B40 dan sebagainya.
"Bagi saya, di sinilah berlakunya kesilapan apabila kita menyasarkan subsidi kerana ia tidak dapat disasarkan dengan tepat.
"Banyak subsidi yang tersasar, dan ada juga golongan yang tidak bersetuju apabila mereka tidak menerima subsidi," katanya.
Tambahnya, klasifikasi T20 (pendapatan RM15,000 ke atas) tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar, khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Ujarnya, pendapatan RM15,000 di bandar hanya mencukupi untuk keperluan asas berbanding kawasan lain yang lebih rendah kosnya.
Beliau turut mencadangkan supaya pendekatan subsidi beralih kepada kaedah berasaskan keperluan (need-based), termasuk penggunaan data lebih terperinci daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan ketepatan penyasaran bantuan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya, Elia Nabila Abdul Bahri berpandangan kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada kawalan harga semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan perlu memperkukuh struktur ekonomi termasuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat.
"Ini merupakan perkara yang kritikal bagi kita kerana perbelanjaan gaji juga agak stagnan, tidak selari dengan peningkatan harga barang.
"Kita perlu meningkatkan produktiviti ke arah gaji progresif dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja murah.
"Dalam masa yang sama, kita perlu melihat keseimbangan antara peningkatan kemampuan ekonomi dan tekanan kenaikan kos sara hidup," jelasnya.
Dalam pada itu, Felo Penyelidik Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Universiti Malaysia Sabah, Izaan Jamil pula berpandangan kerajaan perlu mempertimbangkan pendekatan pemindahan tunai (cash transfer) secara langsung sebagai alternatif kepada subsidi bahan api bersasar.
"Adalah lebih baik untuk kita mansuhkan terus subsidi minyak ini dan beralih kepada cash transfer.
"Kita sudah lebih 10 tahun melaksanakan mekanisme cash transfer ini, dan seharusnya sistem ini sudah bersedia serta tidak wajar ada keciciran sama ada dalam kalangan M40 mahupun B40," katanya.
Mereka berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu berkata kerajaan meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk kumpulan T15 dan T20.
Ujarnya, kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan kini berada di peringkat akhir penelitian.