KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebagai usaha penguatkuasaan dalam membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata pelaksanaan PKM siri kesembilan itu membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat, selain bertujuan membentuk sikap bertanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam.
“Hukuman PKM ini dilaksanakan secara terkawal, beretika dan mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu yang terlibat. Perkara ini perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih berdisiplin, selesa dan berkualiti.
Pelaksanaan PKM membuktikan penguatkuasaan bukan sekadar hukuman tetapi instrumen pendidikan sosial yang mampu membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran,” katanya.
Sebanyak 18 pesalah dalam lingkungan umur 20 hingga 45 tahun terdiri daripada 14 warga tempatan dan empat warga asing, iaitu dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang dari Myanmar dan Pakistan menjalani PKM hari ini, dan kebanyakannya melibatkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.
Kesemua pesalah menjalani PKM selama empat jam bermula 9 pagi di Taman Permainan Kanak-Kanak (TPKK), Jalan Metro Perdana Timur 5, antaranya melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam sambil dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan.
PKM Siri Kesembilan kali ini turut dilaksanakan secara serentak melibatkan enam negeri, iaitu Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perlis dengan penglibatan keseluruhan sebanyak 76 pesalah.
Sementara itu, SWCorp Wilayah Persekutuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan PKM sebagai bentuk pemulihan yang memberi pengalaman langsung kepada pesalah terhadap realiti pengurusan kebersihan awam.
“Sebanyak 1,292 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di empat cawangan di bawah Akta 672 melibatkan 695 warga tempatan dan 587 warga asing.
Statistik ini membuktikan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam dengan memastikan kesalahan pembuangan sampah kecil tidak lagi dipandang ringan oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Di bawah penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat selaras dengan Akta 672 yang bermula sejak 1 Januari lepas, individu yang disabitkan kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam boleh berdepan hukuman denda sehingga RM2,000 dan/atau bon khidmat masyarakat selama maksimum 12 jam.
-- BERNAMA