Skip to main content

Bisnes

SIBS@ASEAN 2026 satukan Selangor dan Jawa Barat demi pertumbuhan serantau

[TB]_SIBS BANDUNG 1_Invest Selangor
(Dari kiri) Wali Kota Bandung, Muhammad Farhan, Timbalan Gabenor Jawa Barat, Erwan Setiawan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han semasa pelancaran rasmi SIBS@ASEAN di Bandung, Indonesia. - Foto Invest Selangor

BANDUNG: Hubungan ekonomi antara Selangor dan Jawa Barat melakar satu lagi pencapaian penting apabila SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition berjaya menghimpunkan lebih 400 delegasi dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan kerjasama rentas sempadan yang dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan pembangunan serantau.

Berlangsung pada 9 hingga 10 Julai di Bandung, Indonesia program anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dengan kerjasama Jabatan Pelaburan dan Perkhidmatan Bersepadu Sehenti (DPMPTSP) Wilayah Jawa Barat, Invest Bandung, Malaysia Chambers of Commerce & Industry (MCCI), KADIN Jawa Baratdan HIPMI Jaya itu menjadi platform penting dalam memperluas jaringan perniagaan serta mempererat hubungan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

Acara itu menghimpunkan 225 peserta dari Malaysia dan 200 peserta dari Indonesia, mencerminkan komitmen yang semakin kukuh oleh kedua-dua wilayah dalam memperluaskan kerjasama ekonomi serta membina jaringan perniagaan yang mampan di peringkat serantau.

Berlangsung serentak dengan program berkenaan ialah Selangor Medical Tourism and Education Expo, hasil kerjasama Tourism Selangor dan Education Malaysia Global Services (EMGS), yang menampilkan 30 reruai pameran daripada institusi kesihatan, pelancongan perubatan dan pendidikan tinggi bagi mempromosikan Selangor dan Jawa Barat sebagai destinasi pilihan dalam bidang penjagaan kesihatan, kesejahteraan serta pendidikan.

Antara institusi yang mengambil bahagian termasuk Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Sunway Medical Centre Sunway City Kuala Lumpur, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur & PICASO Hospital, Beacon Hospital, KPJ Rawang Specialist Hospital, Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Taylor's University, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), UCSI University dan beberapa lagi institusi pendidikan serta kesihatan terkemuka.

SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Wali Kota Bandung, Muhammad Farhan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.

Program diteruskan dengan ucaptama khas oleh Timbalan Gabenor Jawa Barat, Erwan Setiawan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang masing-masing menekankan kepentingan kerjasama strategik antara Selangor dan Jawa Barat sebagai dua pusat pertumbuhan utama di rantau ASEAN.

Antara sorotan utama program ialah majlis pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama dalam pembangunan wanita, pelancongan, pendidikan, pembangunan tenaga kerja dan sektor kewangan.

Kerjasama itu melibatkan Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan BAPPENAS, Tourism Selangor bersama Batik Air Bandung dan ASITA, Universiti Selangor (UNISEL) dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), serta Malaysia Chamber of Commerce Indonesia (MCCI) bersama Bank BJB.

Turut berlangsung ialah pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) antara GreatAsic Technology dan Indonesia Chip Design Collaborative Center (ICDeC) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan teknologi semikonduktor.

Sepanjang sidang kemuncak, peserta turut mengikuti pelbagai pembentangan mengenai peluang pelaburan dan pembangunan industri di Selangor serta Jawa Barat.

Antaranya perkongsian daripada Ketua DPMPTSP Jawa Barat, Dr. Dedi Taufik, Ketua Eksekutif Agensi Pengurusan Metropolitan Rebana, Helmy Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Incorporated, Mej (K) Datuk Ts. Saipolyazan M. Yusop.

SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition turut menampilkan perbincangan mengenai integrasi rantaian bekalan ASEAN dan landskap bakat serantau, melibatkan wakil daripada Unilever Indonesia, ASEAN Future Workforce Council (AFWC), Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) serta Innovation Factory.

Selain itu, CIMB Niaga dan Bank BJB turut berkongsi pandangan mengenai landskap kewangan dan perniagaan di Malaysia, Indonesia serta rantau ASEAN.

Pada hari kedua, delegasi Selangor menyertai lawatan industri ke beberapa hab ekonomi utama di Jawa Barat melibatkan enam sektor strategik iaitu aeroangkasa, rel dan mobiliti, industri kreatif, tenaga dan utiliti, pembangunan hartanah, serta teknologi bagi meneroka peluang kerjasama, inovasi dan pelaburan rentas sempadan pada masa hadapan.

Kejayaan penganjuran SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition bukan sahaja memperkasa hubungan ekonomi antara Selangor dan Jawa Barat, malah menjadi asas kepada kerjasama sub-serantau yang lebih mampan dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi ASEAN melalui pelaburan, inovasi dan pembangunan industri.

Sebagai agensi promosi pelaburan Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor terus memainkan peranan sebagai pusat sehenti bagi memudahcara pelaburan tempatan dan antarabangsa. Sejak 1999, agensi itu telah memudahcara lebih 7,069 projek pembuatan, mewujudkan 508,316 peluang pekerjaan serta menarik pelaburan bernilai lebih RM256.6 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ASEAN.

SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition menjadi pembuka tirai kepada Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 yang bakal berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari www.selangorsummit.com  atau https://www.investselangor.my.

Must Watch Video

Advertisement