Skip to main content

Bisnes

Saham Guocoland digantung dagangan mulai 30 Julai

Sumber: DAGANG NEWS
Di bawah proses penswastaan itu, semua pemegang saham GLM berhak menerima pertimbangan tunai RM1.10 bagi setiap saham GLM sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan. - Gambar hiasan/DagangNews

KUALA LUMPUR: Guocoland (Malaysia) Bhd (GLM) memaklumkan dagangan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Securities akan digantung berkuat kuasa 30 Julai ini, menjelang proses penyahsenaraian syarikat itu.

Menurut GLM, penggantungan berkenaan adalah bagi memudah cara proses penswastaan syarikat melalui pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik modal oleh pemegang saham pengawalnya, GLL (Malaysia) Pte Ltd (GLLM).

“Dagangan saham GLM akan terus digantung sehingga GLM dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Securities susulan penyempurnaan proses penswastaan,” menurut GLM dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Di bawah proses penswastaan itu, semua pemegang saham GLM berhak menerima pertimbangan tunai RM1.10 bagi setiap saham GLM sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan.

Penyelesaian harga tawaran akan dibuat dalam tempoh 10 hari dari tarikh salinan rasmi perintah termeterai yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Malaya bertarikh 13 Julai 2026, yang mengesahkan pengurangan modal saham terbitan GLM.

Pada Februari tahun ini, GLM menerima cadangan penswastaan daripada pemegang saham pengawalnya, GLLM.

GLLM mencadangkan untuk menswastakan GLM menerusi kaedah pengurangan modal terpilih pada pertimbangan tunai RM1.10 sesaham.

GLM ialah pemaju hartanah dan cabang hartanah Hong Leong Group.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement