KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Selasa, dalam rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berpotensi menamatkan konflik dan membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9500/9560 berbanding dolar AS daripada 3.9510/9550 semasa ditutup pada Isnin.
Presiden AS Donald Trump dilaporkan berkata rundingan itu ‘berjalan dengan baik’ manakala Ketua Tentera Pakistan memaklumkan kepada China bahawa perjanjian ‘hampir dicapai’.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun terdapat optimisme bahawa kedua-dua negara boleh mencapai kata sepakat, tiada perkembangan konkrit yang menjadi kenyataan.
“Sementara itu, impak terhadap kos sara hidup dan keperluan bank-bank pusat global untuk mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat memberi tekanan kepada pasaran bon menerusi peningkatan hasil.
“Secara ringkas, prospek masih kabur dan peniaga dijangka terus berhati-hati terhadap kesannya kepada ekonomi sebenar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit dijangka diniagakan secara mendatar pada RM3.94 hingga RM3.95 hari ini dan peserta pasaran menunggu maklumat lanjut mengenai rundingan AS-Iran yang sedang berlangsung.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4847/4887 daripada 2.4860/4887 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding euro kepada 4.5958/6028 daripada 4.5998/6044 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.3301/3382 daripada 5.3311/3365 sebelum ini.
Mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau, bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 222.6/223.0.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0917/0967 daripada 3.0932/0966 semasa ditutup semalam, tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.44 daripada 6.43/6.44 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1445/1704 daripada 12.1640/1816 sebelum ini.
-- BERNAMA