KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menjadi pemangkin utama transformasi Malaysia daripada hab pembuatan berintensifkan buruh kepada ekonomi perindustrian bernilai tinggi berasaskan teknologi, inovasi serta kemahiran tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata NIMP 2030 dirangka bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global menerusi penguasaan teknologi, pembangunan bakat serta penghasilan produk berteknologi tinggi.
Daripada perspektif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), beliau menjelaskan keutamaan paling kritikal dalam memastikan kejayaan pelan itu ialah mempercepat penguasaan teknologi dalam sektor perindustrian negara.
"Selepas dua tahun pelaksanaan NIMP 2030, kita dapat melihat peningkatan ketara dalam pelaburan berimpak tinggi dan berasaskan pertumbuhan tinggi. Antaranya, Malaysia berjaya menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor semikonduktor.
"Sebagai contoh, Intel kini meningkatkan pelaburannya dalam bidang ‘advanced packaging’. Selain itu, syarikat global seperti ASE, yang merupakan peneraju dunia dalam teknologi pembungkusan maju semikonduktor, turut mula memperluaskan operasi mereka di Malaysia.
"Jika sebelum ini Malaysia lebih dikenali sebagai hab ‘backend packaging’, kini kita sedang bergerak ke arah segmen bernilai lebih tinggi iaitu ‘advanced packaging’," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sim berkata NIMP 2030 turut memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem inovasi negara menerusi kerjasama lebih erat antara industri, universiti dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, pelaksanaan NIMP 2030 bertujuan memperkukuh penglibatan Malaysia dalam segmen bernilai tinggi rantaian bekalan global seperti reka bentuk produk, kejuruteraan lanjutan dan pembuatan berketepatan tinggi.
Tambahnya, Malaysia kini tidak lagi dilihat sebagai destinasi pelaburan berasaskan kos buruh murah semata-mata, sebaliknya semakin dikenali kerana kekuatan ekosistem industri dan keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Jadi pelabur datang sekarang, mereka nampak Malaysia sebagai satu tempat yang penuh dengan ekosistem yang berdaya maju dan keupayaan pekerja kita yang mempunyai ilmu dan kemahiran kejuruteraan yang tinggi," ujar beliau.
Dalam aspek pembangunan bakat pula, Sim berkata tenaga kerja mahir merupakan elemen terpenting dalam memastikan kejayaan NIMP 2030.
Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai institusi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sedang memperkukuh latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri baharu.
Kerajaan juga, ujarnya, telah menyediakan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP (CoSIF) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan melaksanakan automasi, integrasi digital dan pemindahan teknologi.
Menurutnya pelaksanaan automasi bukan sahaja meningkatkan produktiviti syarikat, malah membantu pekerja meningkatkan kemahiran dan memperoleh pendapatan lebih tinggi.
"Dulu pekerja melakukan kerja manual, sekarang mereka mengendalikan sistem automasi dan robotik. Ini mewujudkan pekerjaan lebih berkualiti dan bergaji lebih tinggi," kata Sim lagi.
NIMP 2030 berpaksikan kepada empat misi iaitu memajukan kompleksiti ekonomi, mempercepat penggunaan digital dan hijau, menggerakkan peralihan ke arah pembuatan sifar bersih, serta memastikan pertumbuhan yang adil dan terangkum.
Kerangka pelaksanaannya merangkumi 21 strategi, 62 pelan tindakan dan lima sektor utama iaitu elektrik dan elektronik (E&E), kimia, aeroangkasa, peranti perubatan, dan farmaseutikal.
Selain itu, NIMP2030 turut mengenal pasti empat sektor pertumbuhan baharu iaitu kenderaan elektrik, bahan termaju, CCUS, dan Tenaga Boleh Baharu.
Pelan itu menyasar untuk meningkatkan nilai tambah pembuatan kepada RM587.5 bilion serta menggandakan gaji median sektor pembuatan menjelang 2030.