Skip to main content

Bisnes

The Manhattan Fish Market, US Pizza terima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR, May 21 -- (from left) Director of The Manhattan Fish Market (MFM), Steven Phang; Director of MFM Jeremy Hiew; Chief Operating Officer of MFM Sheikh Imran Iskandar; and Group Chief Executive Officer of MFM Deric Yeo posed for a group photo after the Cocktail Reception held in conjunction with Franchise International Malaysia (FIM) 2026 at Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Dari kiri, Pengarah MFM Steven Phang dan Jeremy Hiew, Ketua Pegawai Operasi MFM Sheikh Imran Iskandar dan Deric Yeo bergambar selepas resepsi koktel sempena pameran FIM 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, 21 Mei 2026. -- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua jenama kebanggaan Malaysia, iaitu The Manhattan Fish Market (MFM) dan US Pizza, telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sempena pameran berprestij Franchise International Malaysia (FIM) 2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong kepada MFM atas pencapaian sebagai rangkaian restoran makanan laut halal paling lama beroperasi, dan US Pizza Malaysia pula diiktiraf kerana memiliki rangkaian cawangan pizza tempatan dengan sijil halal paling banyak di negara ini.

Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan dan Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli.

Ketua Pegawai Eksekutif MFM Deric Yeo berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam mengekalkan piawaian halal dan khidmat kepada masyarakat dengan penuh keyakinan.

"Sudah 17 tahun kami mendapat pensijilan halal dan inilah masanya untuk kami terus berkhidmat kepada masyarakat melalui amalan dan proses yang mematuhi isu halal," katanya kepada pemberita selepas resepsi koktel sempena pameran FIM 2026.

Yeo, yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza, berkata kedua-dua jenama tempatan itu akan terus melebarkan sayap masing-masing di dalam dan luar negara.

Beliau berkata ketika ini, MFM beroperasi di beberapa pasaran luar negara termasuk Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Jordan dan Myanmar.

Menyentuh mengenai pelan pengembangan,Yeo berkata baru-baru ini kumpulan itu telah membuka cawangan baharu MFM di Lotus's Kepong manakala cawangan seterusnya dijadual dibuka di Tanjung Tokong, Pulau Pinang dan Lotus's Ampang dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

Beliau berkata kumpulan itu juga baru-baru ini meluaskan operasinya ke Empire City dan LSH33, Sentul sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan jenama yang berterusan.

“Bagi US Pizza, kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan, berada di lebih banyak lokasi, dan pergi ke lebih banyak tempat untuk mendekati lebih ramai pelanggan bagi memenuhi keperluan masyarakat," katanya.

Yeo berkata ketika ini, US Pizza mengendalikan hampir 100 cawangan di seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia.

  -- BERNAMA

 

  

Must Watch Video

Advertisement