Skip to main content

Bisnes

Malaysia terus unggul dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global bagi tahun ke-12

61741339145_MalaysiaEkonomi.jpg
Kedudukan itu mencerminkan kekuatan ekosistem halal negara, terutamanya dalam memudah cara perdagangan halal, kecemerlangan pensijilan dan pembangunan industri.

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih kedudukan tertinggi dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global, memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam ekonomi halal dunia, menurut Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026.

Malaysia mengekalkan kedudukan tertinggi selama 12 tahun berturut-turut, mencerminkan kekuatan ekosistem halal negara, terutamanya dalam memudah cara perdagangan halal, kecemerlangan pensijilan dan pembangunan industri.

Laporan itu turut mengetengahkan kekuatan berterusan Malaysia dalam sektor utama, menduduki tempat pertama dalam makanan halal, kewangan Islam dan farmaseutikal serta kosmetik halal selain mengekalkan kedudukan teratas merentasi keenam-enam sektor ekonomi Islam.

Pengerusi Halal Development Corporation Bhd Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata kepimpinan berterusan Malaysia dalam ekonomi Islam global bukan sahaja menunjukkan kekuatan ekosistem halalnya, malah komitmennya untuk memacu ekonomi halal berdasarkan kualiti, kepercayaan dan nilai-nilai etika.

“Melalui jaringan perdagangan halal yang lebih kukuh dan diplomasi halal yang proaktif, kami menyumbang kepada ekonomi halal global yang lebih bersepadu dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Afandi berkata Malaysia akan terus menerajui inovasi, kemampanan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan industri halal kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan seiring dengan perkembangan sektor tersebut.

Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun.

Industri halal kini menyumbang 4.3 peratus kepada eksport negara, mencerminkan permintaan global yang kukuh dan mampan untuk produk halal Malaysia, terutamanya dalam segmen makanan dan minuman serta bahan-bahan halal.

Pada peringkat global, perbelanjaan pengguna Muslim mencecah US$2.6 trilion pada 2024 dan diunjurkan meningkat kepada US$3.56 trilion menjelang 2029, menggariskan skala dan momentum ekonomi halal. 

Ini menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan untuk pembuatan dan pengedaran halal, menghubungkan rantaian bekalan global kepada pasaran pengguna Muslim yang pesat berkembang.

Selain perdagangan, Malaysia telah meningkatkan peranannya dalam kepimpinan pemikiran halal dan diplomasi dengan giat mempengaruhi wacana global melalui platform antarabangsa, membentuk perkongsian strategik dan melaksanakan inisiatif pembinaan kapasiti.

Usaha ini menyumbang kepada penyelarasan piawaian halal yang lebih baik, akses pasaran yang dipertingkatkan dan kerjasama yang lebih kukuh antara pemain industri di seluruh dunia.

Laporan SGIE 2025/2026 turut mengetengahkan peluang baharu dalam pelbagai sektor, termasuk pendigitalan pensijilan halal, kebolehkesanan berasaskan blockchain, kewangan digital Islam dan pengeluaran halal yang mampan, bidang yang meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk menerajui dan menjalin kerjasama pada peringkat global.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement