Skip to main content

Bisnes

Bank Islam tamatkan aplikasi Be U bermula 31 Julai 2026

Be U Akan Ditamatkan Sepenuhnya Pada 31 Julai 2026
Menurut kenyataan Be U, bermula 31 Julai 2026, pengguna tidak lagi boleh menggunakan kad Debit Be U Visa, manakala semua transaksi pembayaran berulang akan dihentikan secara automatik. -Foto Amanz

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd akan menamatkan perkhidmatan aplikasi perbankan digitalnya, Be U, berkuat kuasa 31 Julai 2026, lapor Amanz.

Langkah itu menyusuli tindakan institusi kewangan berkenaan yang telah menghentikan pendaftaran baharu bagi aplikasi tersebut sejak Mei lepas, dalam usaha memindahkan pengguna Be U ke akaun perbankan utama Bank Islam.

Menurut kenyataan Be U, bermula 31 Julai 2026, pengguna tidak lagi boleh menggunakan kad Debit Be U Visa, manakala semua transaksi pembayaran berulang akan dihentikan secara automatik.

Pengguna turut dinasihatkan memuat turun semua penyata akaun Be U sebelum tarikh tersebut untuk rujukan masa depan, memandangkan akses kepada dokumen berkenaan tidak lagi disediakan selepas itu.

Bagi menguruskan baki dana, pemilik akaun boleh memindahkan keseluruhan wang ke akaun bank lain atau ke akaun Bank Islam menerusi perkhidmatan DuitNow sebelum perkhidmatan ditamatkan.

Seiring penamatan aplikasi Be U, Bank Islam menyasarkan untuk menambah baik aplikasi perbankan utamanya, BIMB Mobile, bagi menawarkan kemudahan serta fleksibiliti kepada pelanggan.

Bank Islam turut menggesa pengguna Be U supaya menyelesaikan pemindahan dana masing-masing sebelum 31 Julai 2026.

Must Watch Video

Advertisement