Skip to main content

Hiburan

Syafinaz terajui Lembaga Pengarah ASWARA

Ainu Sham Ramli (kiri) menyerahkan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga kepada Syafinaz Selamat. - Gambar ASWARA
Ainu Sham (kiri) menyerahkan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga kepada Syafinaz. - Foto ASWARA

KUALA LUMPUR: Ikon seni suara negara, Datuk Syafinaz Selamat dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi tempoh dua tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028.

Ia sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh institusi pendidikan seni, budaya dan warisan negara, menurut ASWARA dalam satu kenyataan hari ini.

Pelantikan itu dilihat mampu memperkasakan peranan ASWARA sebagai institusi pengajian tinggi seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ia juga memacu transformasi pendidikan seni menerusi pengukuhan tadbir urus, pembangunan bakat serta kerjasama lebih erat dengan industri kreatif tempatan dan antarabangsa.

Mesyuarat Lembaga Pengarah ASWARA Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Syafinaz pada 25 Jun lalu turut disusuli Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah baharu.

Turut hadir, Rektor ASWARA, Ainu Sham Ramli bersama barisan ahli lembaga yang baharu dilantik, sebagai simbol komitmen memperkukuh tadbir urus serta memperkasa hala tuju strategik institusi itu.

Image
[INSERT]_Ainu Sham Ramli barisan Ahli Lembaga ASWARA_ASWARA
Ainu Sham (lima, kiri) bergambar kenangan bersama semua barisan Ahli Lembaga ASWARA. - Foto ASWARA

Barisan kepimpinan baharu itu menghimpunkan tokoh daripada pelbagai bidang termasuk media, akademik, kebudayaan dan industri kreatif.

Antara yang dilantik ialah Kamaruddin Mape, Mohd Amran Mohd Haris, Zainariah Johari, Ahmad Zainuddin serta Ahmad Azaini Abdul Manaf.

ASWARA yakin gabungan kepakaran barisan kepimpinan baharu itu akan memperkukuh ekosistem pendidikan seni negara menerusi kurikulum yang lebih progresif, jaringan strategik bersama pemain industri serta pembangunan modal insan kreatif yang berdaya saing di peringkat global, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi memenuhi keperluan industri seni kreatif negara.

Must Watch Video

Advertisement