KUALA LUMPUR: Syarikat penerbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd memaklumkan keputusan menghentikan tayangan filem Konspirasi di pawagam seluruh negara dibuat secara dalaman oleh pihak pengurusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan berdasarkan situasi semasa dan bukan bertujuan sebagai publisiti atau strategi pemasaran.
“Elepfilm Entertainment memohon agar semua pihak menghentikan sebarang spekulasi, andaian atau penyebaran maklumat yang tidak sahih (berkaitan perkara itu),” menurut kenyataan itu.
Elepfilm Entertainment memaklumkan mereka menghargai segala maklum balas, sokongan dan pandangan yang diberikan pelbagai pihak terhadap tayangan filem itu.
“Kami berharap penonton akan terus memberikan sokongan kepada tenaga kreatif yang terlibat dalam filem Konspirasi serta industri perfileman tempatan secara keseluruhannya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu susulan pelbagai spekulasi berhubung penamatan tayangan filem berkenaan bermula 28 Mei.
Pada 29 Mei, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan tayangan Konspirasi di seluruh pawagam negara ditamatkan atas permintaan penerbit sendiri.
FINAS memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Media Prima Bhd selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pemamer (pawagam).
Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu menampilkan barisan pelakon seperti Sarimah Ibrahim, Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman dan Esma Daniel.
-- BERNAMA