Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Trump nyatakan perubahan dasar kad hijau tidak jejaskan pemohon layak

41614219486_GreenCard.jpg
Pentadbiran Trump cuba memberi jaminan kepada golongan imigran dan majikan berhubung perubahan dasar kad hijau baru-baru ini, dengan menyatakan bahawa ia tidak akan menghalang pemohon yang layak daripada memperoleh status pemastautin tetap di Amerika Syarikat (AS). - Gambar fail

ANKARA: Pentadbiran Trump cuba memberi jaminan kepada golongan imigran dan majikan berhubung perubahan dasar kad hijau baru-baru ini, dengan menyatakan bahawa ia tidak akan menghalang pemohon yang layak daripada memperoleh status pemastautin tetap di Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media pada Sabtu.

Menurut CBS News, penjelasan itu dibuat susulan timbulnya kebimbangan bahawa garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS (USCIS) boleh menyebabkan beratus-ratus ribu pemohon kad hijau meninggalkan negara itu untuk menyelesaikan kes mereka di konsulat AS di luar negara.

Garis panduan terdahulu dilihat mengecilkan penggunaan proses yang dikenali sebagai "penyesuaian status," yang membenarkan imigran tertentu yang ditaja oleh ahli keluarga atau majikan untuk terus tinggal di AS sementara menunggu kelulusan pemastautin tetap.

Susulan kritikan daripada peguam imigresen, kumpulan perniagaan dan penyokong hak imigran, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menyatakan bahawa garis panduan berkenaan sekadar menegaskan semula "undang-undang dan dasar yang telah lama berkuat kuasa."

"Dasar ini tidak akan menghalang mana-mana warga asing daripada memperoleh kad hijau sekiranya mereka benar-benar layak secara sah," kata DHS yang dipetik oleh CBS.

Menurut jabatan itu perubahan berkenaan "tidak akan memberi impak ketara kepada pemohon yang sangat layak serta profesional mahir yang sentiasa mematuhi undang-undang."

Bagaimanapun, bekas Ketua Penasihat Undang-Undang USCIS, Lynden Melmed berpendapat penjelasan terbaharu daripada pentadbiran berkenaan dilihat mengecilkan skop garis panduan asal.

Beliau berkata dasar itu berkemungkinan besar tetap akan memberi beban tambahan kepada pemohon dan peguam kerana memerlukan lebih banyak bukti bagi mewajarkan proses itu diselesaikan di dalam AS.

"Dasar asas ini masih akan memperlahankan proses imigresen yang sah, namun sekurang-kurangnya mereka telah mengurangkan retorik berkenaan," kata Melmed menurut laporan agensi berita itu.

Peralihan dasar berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk mengekang imigresen haram, di samping mengurangkan kemasukan imigran yang sah dari kebanyakan negara, terutamanya dari rantau Selatan Global.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement