Skip to main content

Malaysia

'Puteri Gunung Ledang The Musical' kembali selepas hampir 20 tahun dengan nafas baharu

https://www.instagram.com/p/DYTgxYmGgDs/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=NTc4MTIwNjQ2YQ%3D%3D&img_index=3
Mimi Fly akan memegang watak Bayan. - Gambar/ IG pglthemusical

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) kembali ke pentas dengan pendekatan lebih segar, menandakan kebangkitan semula sebuah karya legenda yang pernah mencipta fenomena dalam dunia teater Malaysia.

Pementasan ikonik yang kali pertama dipentaskan sekitar 20 tahun lalu, kini dihidupkan semula bukan sekadar sebagai nostalgia, tetapi sebagai satu usaha untuk mengangkat legasi sambil membina masa depan baharu seni pementasan tempatan.

Menurut kenyataan pihak produksi, musim baharu ini dibangunkan dengan visi yang jelas menghormati keindahan karya asal sambil memberi ruang kepada interpretasi baharu yang relevan dengan penonton masa kini.

Antara perubahan paling ketara adalah keputusan memperkenalkan dua watak Puteri dan dua watak Bayan sesuatu yang pertama kali dilakukan dalam sejarah pementasan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi dan penghibur terkenal iaitu Mimi Fly diumumkan sebagai salah seorang yang bakal membawakan watak Bayan dalam musim baharu ini.

“Untuk musim baharu Puteri Gunung Ledang The Musical ini, kami mahu menghargai bukan sahaja legasi PGL, tetapi juga masa depannya.

“Buat pertama kali, dua watak Puteri dan dua watak Bayan akan dibawakan dalam dunia ini. Satu keputusan yang dibuat dengan penuh kasih sayang, teliti dan dengan harapan agar watak-watak ikonik ini terus hidup untuk generasi akan datang,” kongsi mereka.

Langkah ini diambil dengan penuh pertimbangan sebagai usaha memastikan kesinambungan watak-watak ikonik tersebut untuk generasi akan datang, selain memberi peluang kepada lebih ramai penggiat seni untuk menafsirkan karakter berkenaan dengan dimensi berbeza.

Dengan gabungan elemen klasik dan pembaharuan kreatif, pementasan ini dijangka mengajak penonton untuk menyelami semula dunia PGL yang bakal menjadi sebuah kisah yang terus relevan merentas zaman.

 

Must Watch Video