GEORGE TOWN: Filem Hollywood terbitan Netflix, The Big Fix lakonan bintang antarabangsa Mark Wahlberg memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran selama dua minggu, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pilihan bagi produksi filem antarabangsa.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, keputusan produksi bertaraf antarabangsa itu menjalankan penggambaran di negeri berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.
"Keputusan sebuah produksi utama Netflix yang dibintangi pelakon Hollywood, Mark Wahlberg, memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran merupakan satu lagi pencapaian penting bagi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri ini. Produksi bertaraf antarabangsa seperti ini memberi pendedahan yang amat bernilai kepada Pulau Pinang menerusi salah satu platform penstriman terbesar dunia," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, penggambaran yang berlangsung sejak tiga hari lalu melibatkan beberapa lokasi ikonik di Pulau Pinang termasuk Jawi Peranakan Mansion, Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion, Lorong Ikan di George Town dan Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Menurut Wong, memandangkan The Big Fix berkisar mengenai dunia bola sepak, penggambaran turut dijalankan di beberapa stadium di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, selain beberapa lagi lokasi di negeri itu sepanjang minggu ini.
Katanya, produksi berkenaan disokong menerusi program Film in Malaysia Incentive (FIMI) serta mendapat sokongan Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). PETACE turut bekerjasama rapat dengan Penang Global Tourism (PGT), pasukan produksi dan agensi berkaitan bagi memastikan proses penggambaran berjalan lancar.
"Produksi antarabangsa bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, hotel, penyedia pengangkutan dan industri kreatif, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan filem dengan memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk mengunjungi lokasi yang dipaparkan di skrin," katanya.
Beliau berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran The Big Fix menyusuli kejayaan negeri itu menarik sebuah lagi produksi antarabangsa awal tahun ini menerusi filem Sandiwara yang dibintangi pemenang Anugerah Akademi, Tan Sri Michelle Yeoh.
Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan keyakinan industri filem antarabangsa terhadap ekosistem penggambaran di Pulau Pinang, selain komitmen kerajaan negeri untuk terus menarik lebih banyak produksi asing yang mampu menjana nilai ekonomi, membangunkan bakat kreatif tempatan dan mempromosikan negeri itu kepada khalayak global.