KUALA LUMPUR: Filem aksi terbaharu arahan Adrian Teh, “Chelot”, mencipta sejarah industri perfileman tempatan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Babak Aksi “Single Take” Terpanjang Dalam Filem.
Pihak produksi dalam kenyataan hari ini berkata rekod itu dicipta menerusi babak aksi tanpa suntingan yang dirakam menggunakan satu kamera melibatkan adegan sejauh 1.9 kilometer dengan durasi lima minit 19 saat.
“Ini adalah satu pencapaian yang jarang sekali dilakukan dalam industri perfileman tempatan kerana memerlukan ketepatan teknikal tinggi,” menurut kenyataan itu.
Babak berkenaan direalisasikan dengan penglibatan 300 kru, 150 hari persiapan, 60 jam raptai dan penggunaan 50 kereta prop.
Chelot diterbitkan oleh ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film, manakala poster filem itu yang menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahya turut dilancarkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, Adrian berkata kepulangannya ke genre aksi selepas mengarahkan “MALBATT: Misi Bakara” pada 2022 bukan sekadar untuk kembali ke genre sama, sebaliknya bertujuan menawarkan sesuatu yang segar kepada penonton tempatan.
Filem Chelot dijadualkan menemui penonton di pawagam pada Ogos ini.
-- BERNAMA