Skip to main content

Malaysia

Majlis Media disaran adakan pertemuan dengan platform media sosial, bendung berita palsu

KUALA PILAH, 13 Jun -- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sesi perkongsian bersama para peserta seluruh Negeri Sembilan secara maya pada program AI @ Nadi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti hari ini. --fotoBERNAMA
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sesi perkongsian bersama para peserta seluruh Negeri Sembilan secara maya pada program AI @ Nadi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA PILAH: Majlis Media Malaysia (MMM) disaran mengadakan pertemuan dengan platform media sosial bagi menyelaras tindakan membendung penyebaran berita palsu dan kandungan mengelirukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting susulan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran maklumat tidak sahih termasuk penyalahgunaan logo media tempatan untuk menghasilkan grafik dan laporan palsu di media sosial.

“Saya ada satu perbincangan dengan MMM baru-baru ini dan mereka menyatakan kegusaran tentang perkara sama. Berita palsu, penyalahgunaan logo media tempatan untuk menghasilkan grafik palsu. 

“Jadi, insya-Allah saya sedia berikan kerjasama kepada MMM serta rakan-rakan media untuk pastikan kurang ataupun tidak ada sebaran berita palsu dalam media sosial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AI@NADI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti di sini hari ini.

Beliau berkata satu bentuk kerjasama dengan MMM berkaitan menangani berita palsu ketika PRN turut akan diumumkan pada Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Pulau Pinang, nanti.

Pada masa sama, Fahmi berkata platform media sosial juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mengambil tindakan segera terhadap kandungan palsu yang dilaporkan pengguna terutama berkaitan pilihan raya.

“Memang platform tertentu seperti TikTok ada butang laporan untuk  maklumat palsu berkaitan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 62 NADI kini beroperasi di  Negeri Sembilan dengan pelbagai program melibatkan komuniti, termasuk pelaksanaan program WIRA AI secara serentak di seluruh negeri hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada masyarakat, khususnya pelajar mengenai penggunaan AI secara beretika dan berkesan, termasuk kemahiran prompting.

Beliau berkata pelaksanaan dan pengoperasian NADI di seluruh negara disokong dengan peruntukan kira-kira RM19 juta setahun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan program literasi digital dan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan.

Pada masa sama, katanya kementerian menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera prompt di setiap NADI di seluruh negara bagi memperkukuh keupayaan digital komuniti setempat.

“Kita tidak mahu hanya menjadi pengguna aplikasi luar, sebaliknya mahu melahirkan pembina aplikasi AI tempatan, khususnya dalam kalangan lepasan SPM,” katanya.

Beliau berkata NADI  akan terus berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat rasmi kerajaan termasuk berkaitan inisiatif  seperti BUDI MADANI,  Sumbangan Asas Rahmah (SARA) , Sumbangan Tunai Rahmah (STR)  dan pelbagai inisiatif lain.

Menurutnya, kerajaan turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan (JaPen) bagi memastikan maklumat sahih dapat disampaikan ke seluruh negara melalui rangkaian NADI.

Selain itu, beliau berkata kemudahan NADI juga akan dibuka kepada pengamal media sebagai pusat kerja lapangan untuk memudahkan proses pelaporan dan penyediaan berita di peringkat akar umbi termasuk  sepanjang tempoh PRN diadakan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement