Skip to main content

Dunia

Kylie Minogue dedah rahsia, disahkan hidap kanser kali kedua tanpa pengetahuan umum

FILE PHOTO: Kylie Minogue arrives at the Vanity Fair Oscar party after the 96th Academy Awards, known as the Oscars, in Beverly Hills, California, U.S., March 10, 2024. REUTERS/Danny Moloshok/File Photo
Kata Minogue, pengalaman kali kedua menghidap kanser dilalui secara tertutup, berbeza dengan diagnosis pertama yang mendapat perhatian meluas media. - Gambar fail Reuters

LONDON: Penyanyi pop terkenal antarabangsa, Kylie Minogue mendedahkan beliau pernah berdepan diagnosis kanser buat kali kedua pada 2021, namun, memilih untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.

Pendedahan itu dibuat menerusi dokumentari terbaharu Netflix berjudul Kylie, yang memperincikan perjalanan hidup dan kerjayanya dalam industri muzik.

Minogue, 57, berkata, beliau disahkan menghidap kanser pada awal 2021, hampir dua dekad selepas berjuang melawan kanser payudara pada 2005.

Menurutnya, pengalaman kali kedua itu dilalui secara tertutup, berbeza dengan diagnosis pertama yang mendapat perhatian meluas media.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis kanser atau rawatan yang diterima, sebaliknya memberi jaminan bahawa keadaannya kini berada dalam keadaan sihat.

Minogue berkata, beliau bersyukur kerana sekali lagi berjaya melalui detik sukar tersebut dan kini kembali meneruskan kehidupan seperti biasa dengan semangat yang lebih kuat.

Beliau turut mengakui mengambil masa untuk berkongsi perkara itu secara terbuka kerana sukar mencari waktu yang sesuai, apatah lagi ketika kariernya kembali melonjak dengan kejayaan lagu Padam Padam pada 2023.

“Saya fikir tiada keperluan untuk berkongsi dengan semua orang, dan ketika itu saya tidak mampu melakukannya kerana keadaan diri yang sangat rapuh,” katanya.

Penyanyi itu turut mendedahkan pernah melalui fasa sukar sehingga enggan keluar rumah, meskipun kejayaan lagu tersebut membuka banyak peluang dalam kerjayanya.

Dalam masa sama, beliau menyedari pengalaman berdepan kanser bukan sekadar episod kecil dalam hidupnya, sebaliknya meninggalkan kesan mendalam dari segi emosi.

Minogue turut berkongsi bahawa lagu Story dalam album Tension (2023) diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya itu, sebagai medium untuk meluahkan perasaan tanpa menjelaskan secara langsung kepada umum.

Beliau menjelaskan, penghasilan lagu tersebut menjadi cara untuk menandakan tempoh sukar yang dilaluinya dalam kehidupan.

Dalam pada itu, Minogue berharap perkongsiannya dapat menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Menurutnya, diagnosis yang diterima adalah hasil pemeriksaan rutin, dan pengesanan awal memainkan peranan penting dalam proses rawatan serta pemulihan.

Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana kini berada dalam keadaan sihat dan mampu kembali aktif dalam kerjaya seni.

Untuk rekod, Minogue sebelum ini disahkan menghidap kanser payudara pada 2005 sehingga terpaksa membatalkan siri jelajah dan beberapa persembahan, sebelum pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement