KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi pemangkin dalam peluasan pasaran antarabangsa dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam ekosistem francais.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, TVET memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian industri francais pada masa depan.
“Industri francais memerlukan tenaga kerja yang mahir, profesional dan bersedia dalam industri bagi memastikan standard operasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan terus dipertingkatkan.
“TVET mampu menyediakan latihan praktikal dan kemahiran teknikal termasuk aspek digital serta khidmat pelanggan yang kini menjadi keperluan utama industri francais moden,” katanya ketika merasmikan Pameran Antarabangsa Francais Malaysia (FIM) Ke-33 mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
FIM2026 berlangsung dari 21 hingga 23 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan penyertaan lebih 150 jenama francais serta lebih 250 ruang pameran yang dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.
Jelasnya, kerjasama lebih erat antara industri francais dan institusi TVET juga mampu membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja selain meningkatkan daya saing industri tempatan.
“Gabungan kekuatan francais dan TVET akan menjadi asas penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan, pekerja mahir dan jenama tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Armizan menambah, industri francais Malaysia menyumbang lebih RM36 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2022, dan kerajaan menyasarkan sehingga RM100 bilion menjelang 2030.
“Francais bukan lagi sekadar model perniagaan makanan dan minuman. Hari ini, ia berkembang ke pelbagai sektor termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, logistik, teknologi, pelancongan, automotif dan perkhidmatan profesional.
“Perkembangan ini menunjukkan bagaimana industri francais kini menjadi platform penting dalam menyokong pembangunan kemahiran, inovasi dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi,” ujarnya.
Armizan berkata, model francais juga memberi peluang kepada usahawan baharu untuk menyertai sistem perniagaan yang lebih tersusun dengan sokongan operasi dan latihan yang komprehensif, sekali gus mengurangkan risiko perniagaan.
Dalam pada itu, kerajaan mahu melihat Malaysia bukan sahaja sebagai pasaran francais yang kukuh, malah muncul sebagai pengeksport jenama francais dan kepakaran keusahawanan ke peringkat serantau serta global.
“Beberapa jenama tempatan seperti Global Art dan Marrybrown telah membuktikan kemampuan francais tempatan menembusi pasaran antarabangsa dengan operasi di puluhan negara.
“Industri francais dilihat antara sektor ekonomi paling berdaya tahan dan dinamik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, melahirkan usahawan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya lagi.