KUALA LUMPUR: Konsul Kehormat Malaysia di Syria, Datuk Samir Al Kour, 73 tahun, meninggal dunia hari ini pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan) di Damsyik, Syria akibat akibat pendarahan otak.
Sumber Astro AWANI di Damsyik memaklumkan Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Dar al-Shifa sejak sepuluh hari lalu akibat masalah strok yang dialaminya.
“Beliau meninggal pagi tadi, semoga Allah menerima segala amal kebaikannya,” kata sumber ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sumber turut mengesahkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Jumaat.
Untuk Allahyarham yang juga ahli perniagaan telah bertugas selaku Konsul Kehormat Malaysia di Syria sejak tahun 2000.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut Johan Arief Jaafar, dijadualkan akan ke Syria pada esok untuk menghadiri upacara pengebumian.
Selain tugas hakiki, Allahyarham juga sering memudah cara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Syria.
Allahyarham turut bertindak membantu NGO Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia dan wartawan Astro AWANI, Seth Akmal yang terkandas di Damsyik apabila ruang udara ditutup akibat perang pada 28 Feb lalu.
“Beliau sering berhubung untuk memastikan keselamatan kami dari Damsyik menuju ke Beirut melalui jalan darat sebelum berlepas ke Istanbul untuk menaiki penerbangan menuju ke Kuala Lumpur,” kata Seth.
Pengarah Misi KHOM Malaysia, Nik Marina Hussin menyatakan Allahyarham telah menunjukkan keprihatinan dan sifat kemanusiaan yang luar biasa terhadap kebajikan delegasi KHOM Malaysia.
“Keikhlasan, kebijaksanaan dan keprihatinan Datuk Samir terhadap rakyat Malaysia di luar negara mencerminkan keperibadian seorang pemimpin dan insan kemanusiaan yang amat dihormati.
“Kata-kata semangat serta sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan Allahyarham ketika saat-saat sukar itu akan sentiasa terpahat dalam ingatan dan hati kami,” kata Nik Marina.
Nik Marina dalam kenyataannya turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, selain memohon agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
KHOM Malaysia berada di Syria dari 23 hingga 28 Februari lalu bagi melaksanakan Misi Talian Hayat Musim Sejuk untuk membantu pelarian perang sejak 2011.