Skip to main content

Berita

Pengurusan haji: PM ucap tahniah kepada TH, Amal dapat pengiktirafan dari Arab Saudi

[TB]_Tabung Haji_astro awani
Perdana Menteri berkata, pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan serta kebajikan jemaah Haji. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan tahniah kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan menerima Anugerah Labbaittom bagi tahun kelima berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

Selain Anugerah Labbaittom, Malaysia turut menerima pengiktirafan tertinggi kategori Diamond, menjadikannya kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori itu. 

Menurutnya, pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan serta kebajikan jemaah Haji. 

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengurus jemaah Haji Malaysia," katanya dalam hantaran di media sosial beliau di sini pada Sabtu. 

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines (Amal) yang menerima anugerah Misk Al-Khitam sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dalam menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim Haji 1447 Hijrah. 

Beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan keupayaan serta kecekapan institusi dan syarikat Malaysia untuk bersaing dan cemerlang di peringkat antarabangsa. 

"Tahniah juga kepada Amal by Malaysia Airlines atas penerimaan anugerah Misk Al-Khitam sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dalam menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim Haji 1447H. 

"Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan serta kecekapan institusi dan syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan dan mengharumkan nama negara dalam melayani para tetamu Allah SWT," katanya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan sebelum ini berkata, pencapaian tersebut membuktikan keunggulan ekosistem pengurusan haji Malaysia yang diterajui TH dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada jemaah Haji. 

Menurut beliau, pengiktirafan itu merangkumi keseluruhan rantaian perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah bermula daripada aspek penerbangan, penginapan, logistik, pengangkutan, keselamatan sehinggalah kepada penyediaan makanan.
 

Must Watch Video

Advertisement