Skip to main content

Teknologi

Windows 11 bakal tampil carian lebih tepat, kurang kandungan promosi

https://amanz.my/2026572710
Melalui kemas kini baharu itu, aplikasi, tetapan sistem dan fail tempatan akan diberikan keutamaan yang lebih tinggi apabila dianggap padanan paling relevan bagi sesuatu carian. -Foto Amanz

REDMOND: Microsoft sedang mengemas kini fungsi Search pada Windows 11 dengan memberi keutamaan kepada carian fail, aplikasi dan tetapan dalam komputer, selain mengurangkan kandungan promosi yang dipaparkan kepada pengguna.

Langkah itu bertujuan menjadikan antara muka carian lebih kemas dan mudah digunakan, selain meningkatkan ketepatan hasil carian yang kini sedang diuji menerusi saluran Windows Insider Experimental, lapor Amanz.

Perubahan tersebut diperkenal susulan aduan pengguna yang sering melihat keputusan carian web dan cadangan lain dipaparkan sebelum fail atau aplikasi yang sebenarnya ingin dicari.

Melalui kemas kini baharu itu, aplikasi, tetapan sistem dan fail tempatan akan diberikan keutamaan yang lebih tinggi apabila dianggap padanan paling relevan bagi sesuatu carian.

Selain paparan yang lebih bersih, fungsi Search turut dipertingkatkan dengan keupayaan mengesan kesilapan ejaan, huruf yang tertinggal atau lebihan huruf dalam carian pengguna.

Sebagai contoh, pengguna yang menaip "Utlook" masih boleh menemui aplikasi Outlook menerusi sistem carian yang dipertingkatkan itu.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Microsoft di bawah projek Windows K2, yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti Windows 11 serta mengurangkan ciri yang dianggap mengganggu pengalaman pengguna.

Kemas kini itu turut membolehkan pengguna memilih sama ada mahu memaparkan keputusan carian web dan cadangan Microsoft Store atau menumpukan sepenuhnya kepada hasil carian tempatan.

Sebelum ini, Microsoft turut memperkenalkan beberapa perubahan lain termasuk kawalan yang lebih fleksibel terhadap kemas kini Windows, pengurangan gangguan pada widget serta pelbagai penambahbaikan kepada pengalaman penggunaan Windows 11.

 

 

Must Watch Video

Advertisement