Skip to main content

Malaysia

Pembangunan Pelabuhan Midport Smart AI perkukuh agenda Ekonomi MADANI dan MVV 2.0 - Aminuddin

Menghadiri Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Aminuddin berkata, Midport Smart AI Container Port berpotensi memendekkan masa pengendalian kargo, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keselamatan dan mengukuhkan daya saing rantaian bekalan negara. - Astro AWANI

PORT DICKSON: Pembangunan Pelabuhan Midport yang merupakan pelabuhan kontena pintar kecerdasan buatan (AI) di mukim Pasir Panjang adalah selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang mampan, adil dan inklusif.  

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia juga memperkukuh agenda Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Dasar Transformasi Digital Negara.

Ujarnya, projek pelabuhan pintar itu akan turut digabungkan dengan perancangan pembangunan Port Dickson Free Zone (PDFZ) seluas lebih kurang 1,400 ekar di Ladang Sengkang, Mukim Pasir Panjang.

“Projek ini merupakan sebuah projek yang menghimpunkan pembangunan industri, kemudahan logistik, pergudangan, perkhidmatan sokongan, teknologi digital dan akan dihubungkan melalui jaringan pengangkutan darat seperti West Coast Expressway.

“Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan melalui pembangunan projek ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport yang merupakan pelabuhan kontena pintar AI, di sini, pada Selasa.

Tambahnya, Projek Midport Smart AI Container Port itu merupakan satu usahasama strategik antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS dengan syarikat Midports Holdings Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad yang melibatkan kos pembangunan dianggarkan sebanyak RM3.4 bilion.

Jelas Aminuddin, ia merangkumi kawasan pembangunan kira-kira 180 ekar di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, dengan tempoh pelaksanaan bagi Fasa Pertama sekitar tiga tahun.

“Ini bukan sekadar satu lagi projek fizikal yang akan dibangunkan di Negeri Sembilan. Projek ini adalah suatu pelaburan strategik yang akan mengubah kedudukan Port Dickson dan Negeri Sembilan dalam peta ekonomi negara dan dunia.

“Selama ini, Port Dickson dikenali sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi. Namun, dengan pembangunan projek ini, Port Dickson akan melangkah ke satu tahap baharu sebagai pintu masuk perdagangan, logistik, pelaburan dan teknologi maritim moden,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata pelabuhan itu dirancang sebagai pelabuhan kontena pintar yang memanfaatkan kecerdasan buatan, automasi, Internet of Things, analitik data masa nyata, sistem pengurusan trafik pelabuhan yang lebih cekap serta operasi logistik berasaskan teknologi.

Justeru, melalui pendekatan tersebut, Midport Smart AI Container Port berpotensi memendekkan masa pengendalian kargo, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keselamatan dan mengukuhkan daya saing rantaian bekalan negara.

“Ukuran sebenar kejayaan projek ini ialah sejauh mana ia memberi manfaat kepada rakyat, khususnya penduduk setempat di Linggi, Pasir Panjang, Pengkalan Kempas dan kawasan sekitar Port Dickson serta Negeri Sembilan secara amnya.

“Kita mahu projek ini membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Kita mahu anak muda di Negeri Sembilan tidak perlu lagi berhijrah jauh semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

“Kita mahu mereka mempunyai peluang untuk bekerja sebagai juruteknik automasi, operator logistik, penyelia keselamatan, pemandu jentera, pegawai operasi pelabuhan, pegawai pergudangan, pekerja penyelenggaraan, kakitangan sokongan, pengurusan data, keselamatan siber, pengurusan kargo dan perkhidmatan marin.

Ujarnya lagi, projek berkenaan akan turut membuka ruang kepada kontraktor tempatan, pembekal bahan binaan, pengusaha pengangkutan, bengkel kenderaan, penyedia makanan, pengusaha homestay, pengusaha dobi, perkhidmatan pembersihan, keselamatan, landskap dan pelbagai perniagaan kecil lain. 

Must Watch Video

Advertisement