MOUNTAIN VIEW: Teknologi tera air (watermark) kecerdasan buatan (AI) Google, SynthID, kini akan digunakan secara lebih meluas oleh syarikat teknologi seperti OpenAI, Kakao, ElevenLabs dan NVIDIA bagi menandakan kandungan janaan AI.
Perluasan penggunaan SynthID, yang diperkenalkan sejak 2023, membolehkan sistem AI Google termasuk Gemini mengesan kandungan gambar, video dan audio janaan AI generatif dengan lebih mudah.
Ciri pengesanan itu boleh diakses pengguna menerusi aplikasi Gemini, fungsi Circle to Search serta integrasi dalam pelayar web Google Chrome, lapor Amanz.
Selain SynthID, Google turut memperkenalkan sokongan kepada standard pengesahan kandungan C2PA bagi membantu mengenal pasti sama ada sesuatu kandungan digital adalah asli atau telah diubah suai.
Fungsi semakan C2PA mula dilancarkan dalam aplikasi Gemini hari ini dan dijangka diperluaskan ke Google Search serta Chrome dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam perkembangan perkakasan, siri telefon pintar Pixel 10 akan menjadi antara peranti pertama yang menyokong standard C2PA secara terbina.
Google turut merancang untuk mengemas kini peranti Pixel 8 dan Pixel 9 dalam masa terdekat supaya maklumat metadata C2PA dapat dimasukkan secara automatik pada kandungan video yang dirakam.