Skip to main content

Bisnes

Sarawak perkenal ‘Legacy Wonders’, transformasi industri MICE

Sarawak di IMEX Frankfurt 2026 - Astro AWANI
Delegasi Sarawak bergambar sempena penyertaan Pavilion Sarawak pada IMEX Frankfurt 2026 di Messe Frankfurt, Jerman, yang berlangsung sejak 19 Mei lalu dan berakhir hari ini. - Foto BESarawak

KUALA LUMPUR: Sarawak kini memasuki fasa pertumbuhan strategik baharu dalam industri acara perniagaan apabila tidak lagi sekadar mempromosikan destinasi, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan industri dan impak jangka panjang menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Pendekatan itu diketengahkan menerusi penyertaan Sarawak di IMEX Frankfurt 2026 buat tahun keempat berturut-turut, selaras aspirasi negeri itu untuk memperkukuh kedudukannya sebagai “Legacy Capital of Business Events” di Malaysia dan Borneo.

Pengerusi Business Events Sarawak (BESarawak) merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, fokus Sarawak kini bukan lagi sekadar meningkatkan keterlihatan destinasi di peringkat global.

“Fokus kami hari ini adalah untuk menggalakkan industri global menyumbang kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) melalui kerjasama bermakna dan peluang pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan sempena IMEX Frankfurt 2026.  

Beliau berkata Sarawak kini berkembang daripada sekadar destinasi tuan rumah kepada rakan strategik yang bekerjasama dengan penganjur bagi memaksimumkan nilai serta impak jangka panjang sesuatu acara, termasuk dari aspek pelaburan, inovasi dan pertumbuhan sektor ekonomi.  

Bagi menyokong agenda itu, Sarawak turut melaksanakan pelaburan besar dalam infrastruktur dan keterhubungan termasuk peluasan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK2) dan pengenalan syarikat penerbangan serantau AirBorneo.  

BCCK2 yang dijangka siap pada 2028 bakal meningkatkan kapasiti negeri itu untuk menganjurkan konvensyen dan pameran antarabangsa berskala lebih besar, manakala AirBorneo dijangka memperkukuh aksesibiliti serantau dan ekosistem acara perniagaan Sarawak.  

Pada masa sama, BESarawak turut memperkenalkan pendekatan baharu dikenali sebagai “Legacy Wonders” yang memberi penekanan kepada pengalaman berasaskan budaya, alam semula jadi, gastronomi, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan untuk delegasi korporat.  

Pendekatan itu bertujuan menggalakkan pelancongan bertanggungjawab serta penglibatan komuniti tempatan bagi mewujudkan legasi positif kepada destinasi berkenaan.

Selain itu, Sarawak turut memperkukuh ekosistem sokongan industri melalui Academic Mobility Programme (AMP) yang menghubungkan universiti, pemain industri dan rakan antarabangsa menerusi pertukaran ilmu serta lawatan teknikal.  

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Jason Tan Chin Foo berkata inisiatif seperti AMP membuktikan komitmen Sarawak dalam memperkukuh kedudukannya sebagai ibu kota legasi acara perniagaan melalui pelaburan fizikal dan bukan fizikal.  

IMEX Frankfurt 2026 berlangsung dari 19 hingga 21 Mei di Messe, Frankfurt dan merupakan antara pameran perdagangan acara perniagaan terbesar dunia yang menghimpunkan perancang mesyuarat global, pemimpin persatuan, biro konvensyen dan pemain industri dari seluruh dunia.  

Must Watch Video

Advertisement