Syarikat gergasi permainan video, Nintendo, dilapor sedang membangunkan model baharu konsol Nintendo Switch 2 khusus untuk pasaran Eropah yang dilengkapi ciri bateri mudah diganti, lapor Amanz.
Langkah tersebut diambil bagi mematuhi undang-undang baharu Kesatuan Eropah (EU) di bawah Peraturan (EU) 2023/1542, yang menetapkan peranti elektronik tertentu perlu mempunyai bateri yang boleh dibuka dan ditukar sendiri oleh pengguna bermula 18 Februari 2027.
Menurut peraturan itu, pelaksanaan ciri tersebut bertujuan mengurangkan sisa elektronik (e-waste) serta memanjangkan jangka hayat penggunaan peranti, khususnya bagi konsol permainan mudah alih dan telefon pintar.
Model Nintendo Switch 2 yang memenuhi piawaian berkenaan dijangka memaparkan label khas “OSM” pada pembungkusan bagi memudahkan rujukan dan pencarian pengguna.
Versi Eropah ini juga dipercayai bakal menampilkan sedikit perubahan reka bentuk bagi membolehkan proses menukar bateri dilakukan dengan lebih mudah tanpa memerlukan peralatan rumit.
Walau bagaimanapun, tarikh pelancaran rasmi bagi model baharu ini masih belum didedahkan, dan Nintendo juga tidak menyatakan sama ada rekaan bateri mudah diganti ini akan turut diperkenalkan ke pasaran luar Eropah.