MICROSOFT Corp melancarkan Microsoft Scout, sistem ejen kecerdasan buatan (AI) perusahaan terbaharu yang dibina berasaskan teknologi sumber terbuka OpenClaw.
Pelancaran itu diumumkan pada persidangan Microsoft Build, serentak dengan pengenalan istilah Autopilot bagi merujuk kepada ejen AI autonomi yang mampu beroperasi secara berterusan, lapor Amanz.
Scout merupakan model Autopilot pertama Microsoft yang direka untuk berfungsi merentasi ekosistem produktiviti syarikat itu termasuk Teams, Outlook, OneDrive dan SharePoint.
Menurut Microsoft, sistem tersebut dibangunkan untuk mengurangkan beban kerja harian dalam persekitaran korporat.
Ia berupaya mengurus jadual, menetapkan peringatan, menyediakan bahan mesyuarat serta menjana dokumen dan slaid pembentangan secara automatik.
Selain itu, Scout turut menggunakan keupayaan “Work IQ” untuk mempelajari tabiat serta keutamaan pengguna bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tugasan.
Pengguna boleh memberikan arahan secara langsung melalui aplikasi Teams menggunakan bahasa perbualan biasa.
Dari sudut keselamatan, Microsoft memaklumkan akses data dikawal ketat dan hanya diberikan kepada sumber yang diluluskan, manakala tindakan tertentu memerlukan pengesahan pengguna.
Sistem ejen AI itu kini berada dalam fasa pratonton tertutup kepada pelanggan korporat terpilih selepas melalui ujian dalaman.
Pelancaran Scout mencerminkan persaingan yang semakin sengit dalam pembangunan ejen AI perusahaan di peringkat global.