SAN FRANCISCO: Meta mengesahkan penarikannya daripada RE100, sebuah inisiatif korporat global yang menggalakkan penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu, selepas hampir sedekad menjadi anggota gabungan itu.
Langkah itu diambil ketika syarikat induk Facebook dan Instagram berkenaan memperluaskan pelaburan dalam pusat data kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh penjanaan kuasa berasaskan gas asli.
Jurucakap Climate Group, yang mengendalikan RE100, berkata Meta menarik diri selepas perbincangan antara kedua-dua pihak mendapati syarikat itu tidak lagi memenuhi kriteria teknikal yang ditetapkan susulan pelaburan dalam projek kuasa gas baharu.
Sepanjang tempoh setahun lalu, Meta dilapor membiayai pembinaan sekurang-kurangnya 12 loji janakuasa gas asli, termasuk projek yang berkaitan dengan kampus pusat data Hyperion di Louisiana.
Sebanyak 10 loji yang dirancang bagi projek Hyperion itu dijangka menjana kapasiti sekitar 7.5 gigawatt (GW), menjadikannya antara projek tenaga terbesar yang dikaitkan dengan pembangunan infrastruktur AI.
Bagaimanapun, Meta menegaskan bahawa syarikat itu kekal komited untuk memadankan penggunaan elektrik pusat datanya dengan 100 peratus tenaga bersih dan boleh baharu menerusi pembelian sijil atribut alam sekitar (EAC).
Perkembangan itu turut mencerminkan cabaran yang dihadapi industri AI dalam memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
Beberapa syarikat teknologi lain, termasuk Microsoft dan Google, turut meneroka pilihan tenaga tambahan bagi menyokong operasi pusat data berskala besar.