Skip to main content

Teknologi

Google perkenal ‘Googlebook’, komputer riba baharu berasaskan AI Gemini

Google mengacah pelancaran komputer riba Googlebook pagi ini dengan ia bakal menggunakan sistem operasi baharu yang merupakan hibrid Android dan ChromeOS. Ini mengesahkan beberapa ura-ura yang mengatakan OS baharu ini sedang dibangunkan bagi memudahkan interaksi antara komputer dan telefon pintar ekosistem Google.
Menurut Google, Googlebook menggabungkan keupayaan Android dan Chrome OS bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh merentas telefon pintar dan komputer riba. -Foto Amanz

MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi memperkenalkan Googlebook, kategori komputer riba baharu yang dibangun berteraskan kecerdasan buatan (AI) Gemini serta direka untuk berfungsi secara lancar dengan peranti Android, lapor Amanz.

Menurut Google, Googlebook menggabungkan keupayaan Android dan Chrome OS bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh merentas telefon pintar dan komputer riba.

Antara ciri utama diperkenalkan ialah “Magic Pointer”, yang membolehkan pengguna mendapatkan cadangan kontekstual secara terus pada kursor dengan bantuan AI Gemini.

Sebagai contoh, pengguna boleh menunjuk pada elemen tertentu di skrin untuk mencipta acara, menggabungkan imej atau melaksanakan tugasan lain dengan lebih pantas.

Googlebook turut dilengkapi fungsi “Create your Widget” yang membolehkan pengguna menghasilkan widget tersuai melalui arahan kepada Gemini, sekali gus membina papan pemuka peribadi mengikut keperluan.

Dalam masa sama, peranti itu direka untuk berintegrasi rapat dengan ekosistem Android, termasuk akses terus kepada aplikasi dan fail daripada telefon pintar tanpa perlu pemindahan manual.

Google memaklumkan ia bekerjasama dengan pengeluar utama seperti Acer, ASUS, Dell, HP dan Lenovo bagi menghasilkan peranti Googlebook dengan reka bentuk premium.

Peranti berkenaan dijangka mula berada di pasaran pada musim luruh 2026, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Must Watch Video