Skip to main content

Teknologi

EU arah Google buka ciri AI Android, kongsi data carian di bawah peraturan digital blok itu

FILE PHOTO: FILE PHOTO: A specially designed Google logo, during the opening of Google's new Artificial Intelligence (AI) centre in Berlin, Germany, March 5, 2026. REUTERS/Annegret Hilse/File Photo
Google masih mempunyai hak untuk menilai sama ada perkongsian data dengan penerima tertentu boleh menimbulkan risiko keselamatan siber atau perlindungan data yang ketara sebelum memberikan akses. - REUTERS

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Khamis meluluskan dua keputusan yang mengikat dari segi undang-undang, mengarahkan Google memperluas keupayaan saling kendali bagi pembantu kecerdasan buatan (AI) pesaing pada peranti Android serta berkongsi data Google Search dengan penyedia perkhidmatan carian pihak ketiga yang layak di bawah Akta Pasaran Digital.

Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan memaklumkan yang langkah itu bertujuan memastikan persaingan yang lebih adil dengan memberi perkhidmatan AI pesaing akses kepada fungsi utama Android yang kini hanya tersedia kepada pembantu AI milik Google, Gemini, selain meningkatkan akses kepada data carian untuk enjin carian alternatif dan perkhidmatan carian berasaskan AI, lapor Anadolu Ajansi.

Di bawah keputusan pertama, Google perlu membenarkan pembantu AI pihak ketiga mengakses ciri sistem Android yang membolehkan pengguna mengaktifkannya melalui arahan suara serta melaksanakan tugasan merentas aplikasi, sama seperti pembantu AI milik Google sendiri.

Menurut suruhanjaya itu, pengguna akan dapat memilih pembantu AI alternatif untuk melaksanakan tindakan seperti menempah teksi, menjana cadangan balasan dalam aplikasi pemesejan atau menjawab soalan berdasarkan lokasi yang baru dikunjungi.

Keputusan kedua menetapkan peraturan mengenai kewajipan Google berkongsi data Google Search yang dianonimkan dengan penyedia perkhidmatan carian pihak ketiga yang layak, termasuk chatbot AI yang menawarkan fungsi carian.

Menurut Suruhanjaya Eropah, akses kepada data carian adalah penting bagi membolehkan pesaing membangunkan dan menambah baik perkhidmatan carian serta mengurangkan kelebihan daya saing Google dalam pasaran yang mengumpulkan data berskala besar sejak bertahun-tahun.

Blok itu turut menetapkan kaedah penetapan harga bagi akses kepada data yang dikongsi serta proses yang telus untuk syarikat yang layak mendapatkannya.

Google masih mempunyai hak untuk menilai sama ada perkongsian data dengan penerima tertentu boleh menimbulkan risiko keselamatan siber atau perlindungan data yang ketara sebelum memberikan akses.

Suruhanjaya itu berkata Google perlu mula berkongsi data carian dengan penyedia yang layak mulai Januari 2027, manakala langkah keupayaan saling kendali Android dijangka tersedia kepada pengguna mulai Julai 2027.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement