CAPCUT, aplikasi penyuntingan video milik anak syarikat ByteDance, menjalin kerjasama strategik dengan Google Gemini bagi membolehkan fungsi penyuntingan gambar dan video dilakukan terus dalam platform kecerdasan buatan (AI) berkenaan.
Melalui integrasi itu, pengguna akan dapat menjana serta menyunting kandungan visual secara langsung dalam aplikasi Gemini tanpa perlu beralih ke aplikasi lain, lapor Amanz.
Langkah berkenaan menggabungkan keupayaan penyuntingan pintar CapCut dengan teknologi AI generatif Google.
Namun, CapCut memaklumkan ciri tersebut masih belum dilancarkan kepada umum dan dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, CapCut merupakan antara aplikasi penyuntingan video paling popular di dunia, khususnya dalam kalangan pencipta kandungan media sosial seperti TikTok.
Populariti itu didorong oleh penawaran templat digital serta alatan penyuntingan yang mudah digunakan.
Sementara itu, Google Gemini ialah model AI bahasa besar (LLM) utama Google yang digunakan bagi pelbagai fungsi produktiviti dan kreativiti digital.