Skip to main content

Teknologi

Aras Integrasi, Yayasan Didik Negara meterai MoU bangunkan platform AISLE

Satu MoU dimeterai sempena Aras Integrasi Sovereign Edge 2026 (AISE26) baru-baru ini, acara sulung yang memfokuskan kepada pembangunan ekosistem AI berdaulat negara. - Foto Aras Integrasi
Satu MoU dimeterai antara Aras Integrasi dan Yayasan Didik Negara sempena Aras Integrasi Sovereign Edge 2026 (AISE26) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Aras Integrasi

KUALA LUMPUR: Aras Integrasi Sdn Bhd dan Yayasan Didik Negara (YDN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan serta pelaksanaan perintis AI in Student Learning Environment (AISLE), sebuah platform kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan khusus untuk menyokong pembangunan murid di Malaysia.

MoU tersebut dimeterai sempena Aras Integrasi Sovereign Edge 2026 (AISE26) baru-baru ini - acara sulung yang memfokuskan kepada pembangunan ekosistem AI berdaulat negara.

Inisiatif AISLE dirancang bagi membantu pembentukan sahsiah, daya tahan emosi, metakognisi, potensi kepimpinan dan amalan pembelajaran positif dalam kalangan murid, di samping meningkatkan keyakinan serta penglibatan mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Melalui kerjasama itu, Aras Integrasi akan menyumbang kepakaran dalam teknologi pembelajaran berasaskan AI, pembangunan kapasiti dan tadbir urus AI yang bertanggungjawab, manakala YDN akan memanfaatkan jaringan luasnya dalam ekosistem pendidikan negara bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurut kedua-dua pihak, AISLE akan dibangunkan berdasarkan keperluan serta piawaian Malaysia, dengan data murid kekal berada di bawah bidang kuasa negara dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Ketua Pegawai Teknologi Aras Integrasi, Farul Mohd Ghazali berkata, konsep AI berdaulat bukan sekadar melibatkan lokasi penyimpanan data, sebaliknya merangkumi kawalan terhadap model AI, nilai, tingkah laku serta mekanisme perlindungan yang diterapkan dalam sistem tersebut.

“Langkah perlindungan untuk murid tidak boleh sekadar ditambah pada sistem AI yang dibangunkan di luar negara untuk tujuan lain. Ia perlu direka bentuk sejak awal dan hanya boleh dicapai apabila Malaysia memiliki dan mentadbir keseluruhan rantaian AI, daripada infrastruktur kritikal dan data sehinggalah kepada model yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan YDN mencerminkan komitmen Aras Integrasi dalam memperluaskan penggunaan AI berdaulat ke sektor pendidikan, yang disifatkan sebagai antara sektor paling penting dalam menentukan masa depan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Mohd Nasrul Khairi berkata, generasi pelajar hari ini merupakan kelompok yang bakal membentuk masa depan Malaysia dan perlu diberikan akses kepada teknologi yang dibangunkan berasaskan kesejahteraan, keselamatan serta perkembangan mereka.

“Menerusi kerjasama ini, kami mahu meneroka bagaimana AI yang bertanggungjawab dan berdaulat dapat menyokong objektif pendidikan negara sambil memastikan data murid terus dilindungi dan kekal sepenuhnya di tangan Malaysia,” katanya.

Sebagai permulaan, program perintis AISLE disasarkan untuk dilaksanakan di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara. Inisiatif itu dijangka menjadi antara pengalaman terawal murid Malaysia berinteraksi secara berterusan dengan AI yang direka khusus untuk menyokong pembangunan sahsiah, kesejahteraan emosi dan aspirasi STEM mereka.

Selain pembangunan platform, kedua-dua organisasi turut merancang kerjasama dalam bidang latihan pendidik, penyelidikan, penilaian impak, penglibatan pihak berkepentingan serta pelaksanaan program bukti konsep bagi memperkukuh penggunaan AI dalam pendidikan negara.

Must Watch Video

Advertisement