Skip to main content

Sukan

UFC 329: Lutut terpelecok, McGregor tewas di pusingan pertama dengan Holloway

Jul 11, 2026; Las Vegas, Nevada, USA; Conor McGregor (red gloves) fights Max Holloway (blue gloves) in a welterweight bout during UFC 329 at T-Mobile Arena. Mandatory Credit: Mark J. Rebilas-Imagn Images
Conor McGregor untuk mencipta kebangkitan sensasi dalam penampilan pertamanya selepas hampir lima tahun berakhir dengan penuh tragis apabila tewas menerusi kemenangan teknikal knockout (TKO) kepada Max Holloway hanya 1 minit 9 saat selepas pertarungan bermula pada aksi utama UFC 329 di T-Mobile Arena, awal pagi Ahad. - Foto REUTERS

IMPIAN Conor McGregor untuk mencipta kebangkitan sensasi dalam penampilan pertamanya selepas hampir lima tahun berakhir dengan penuh tragis apabila tewas menerusi kemenangan teknikal knockout (TKO) kepada Max Holloway hanya 1 minit 9 saat selepas pertarungan bermula pada aksi utama UFC 329 di T-Mobile Arena, awal pagi Ahad.

Pertarungan yang dinanti-nantikan peminat seluruh dunia itu berakhir dalam keadaan yang tidak diingini apabila McGregor mengalami kecederaan serius pada lutut kanan sejurus melancarkan serangan awal.

Bekas juara dua divisyen UFC dari Ireland itu memulakan aksi dengan agresif apabila terus mara menyerang Holloway sebelum meloncat untuk melakukan tendangan menggunakan kaki kiri.

Bagaimanapun, ketika mendarat semula menggunakan kaki kanan, McGregor dilihat tersalah pijak sebelum lutut kanannya terpelecok, menyebabkan beliau rebah sambil jelas menahan kesakitan.

McGregor cuba bangkit untuk meneruskan pertarungan, namun gagal berdiri dengan stabil sebelum pengadil Mike Beltran mencelah untuk menghentikan aksi pada minit 1:09, sekali gus menghadiahkan kemenangan TKO kepada Holloway.

Kemenangan itu mengukuhkan lagi status Holloway sebagai antara petarung elit UFC, selain menamatkan harapan McGregor untuk kembali mencabar kelompok teratas selepas sekian lama meninggalkan Octagon.

Bagi McGregor pula, kekalahan itu pastinya mengundang persoalan mengenai masa depan kariernya, terutama jika kecederaan lutut kanan yang dialami memerlukan tempoh pemulihan yang panjang.

Sementara itu, petarung Britain, Paddy Pimblett terus memperkukuh tuntutannya untuk mencabar kejuaraan lightweight UFC apabila menewaskan Benoit Saint-Denis menerusi kemenangan submission hanya dalam tempoh 52 saat pada acara kedua utama.

Pimblett menggagalkan percubaan takedown lawannya sebelum mengunci kuncian 'guillotine' yang menyebabkan Saint-Denis tidak sedarkan diri, memaksa pengadil Marc Goddard menghentikan pertarungan sekali gus menghadiahkan kemenangan bergaya kepada petarung dari Liverpool itu.
 

Must Watch Video

Advertisement