Skip to main content

Sukan

Tze Yong berguru dengan Joo Ven, mulakan langkah baharu secara profesional

KUALA LUMPUR, 26 Jun -- Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ditemui media selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ng Tze Yong ditemui media selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini. -- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong memulakan fasa baharu dalam karier profesionalnya dengan memilih untuk berguru bersama pemain profesional Soong Joo Ven, selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tze Yong berkata antara sebab langkah itu diambil bagi membolehkan beliau memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan yang masih berada pada tahap intensiti latihan sekitar 40 hingga 50 peratus ketika ini.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata beliau kini lebih bersikap realistik dan tidak mahu terburu-buru tanpa mempedulikan amaran fizikal kerana terdapat perbezaan besar antara kembali menyertai kejohanan dengan kembali kepada tahap prestasi sebenar.

“Kalau boleh pilih, saya memang nak secepat mungkin. Tapi saya perlu lihat kepada daya tahan badan saya juga. Saya tak boleh abaikan amaran fizikal badan, saya perlu terima dan teruskan latihan, dan ia perlukan masa.

“Untuk latihan, saya pilih Joo Vern sebagai jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini. 

Mengenai cabaran bergerak secara profesional yang memerlukan kos tinggi terutama bagi proses pemulihan, Tze Yong berkata beliau tetap positif memandangkan proses itu sedang berjalan mengikut langkah ditetapkan.

Beliau turut menyifatkan keputusannya meninggalkan BAM sebagai satu jalan terbaik untuk kariernya pada tahap ini selepas perbincangan harmoni dilakukan dengan badan induk itu.

Biarpun memilih haluan sendiri, Tze Yong mengakui sukar untuk melupakan jasa BAM yang telah membentuk dirinya sejak di peringkat remaja lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan menjalani latihan bersama pemain profesional utama negara Lee Zii Jia, beliau mengakui tahap fizikal ketika ini belum membolehkan beliau menjadi rakan sepelatih yang setanding buat masa ini.

Semalam, BAM dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan badan induk itu dan Tze Yong telah mencapai persetujuan bersama untuk berpisah secara baik, berkuat kuasa 30 Jun ini.

Pemain berasal dari Johor itu pernah mencapai ranking ke-14 dunia pada November 2023 dan mencipta beberapa kejayaan membanggakan bersama pasukan kebangsaan termasuk memenangi pingat perak perseorangan lelaki serta emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022.

Beliau turut memenangi pingat emas pada Kejohanan Berpasukan Asia 2022 serta pingat gangsa pada Piala Sudirman 2021 dan Piala Sudirman 2023.

Bagaimanapun, perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini terjejas akibat beberapa siri kecederaan termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ACL pada 2025 yang kedua-duanya memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement