DUNIA seni bela diri campuran (MMA) bakal menyaksikan kemunculan semula dua ikon wanita apabila Ronda Rousey dan Gina Carano kembali beraksi dalam pertarungan utama acara MVP MMA di Intuit Dome, Inglewood, California pada Sabtu ini.
Acara yang akan disiarkan secara langsung menerusi Netflix itu menjadi antara langkah terbesar platform penstriman berkenaan dalam dunia MMA, selepas kejayaan beberapa acara sukan tempur sebelum ini.
Pertarungan kelas featherweight wanita 145-pound itu menemukan dua figura yang dianggap pelopor utama MMA wanita sebelum UFC membuka ruang besar kepada kategori wanita pada era 2010-an.
Rousey, 39, mencipta sejarah sebagai juara wanita pertama UFC selepas menyertai organisasi itu pada 2012. Atlet kelahiran Riverside, California tersebut turut memiliki latar belakang judo bertaraf dunia termasuk memenangi pingat gangsa Olimpik Beijing 2008 dalam kategori 70 kilogram.
Sepanjang karier MMA profesionalnya, Rousey merekodkan 12 kemenangan dan dua kekalahan, dengan majoriti kemenangan hadir menerusi teknik kuncian 'armbar' yang menjadi identitinya di dalam sangkar. Beliau juga menamatkan 11 daripada 12 kemenangan profesional dalam pusingan pertama.
Carano pula dikenali sebagai “Face of Women’s MMA” ketika era Strikeforce dan EliteXC, hasil gabungan kemampuan striking, populariti komersial dan imej arus perdana yang membantu membawa MMA wanita ke perhatian media antarabangsa.
Bekas atlet kickboxing dari Las Vegas berusia 44 tahun itu mencatat rekod profesional tujuh kemenangan dan satu kekalahan sebelum meninggalkan MMA untuk memberi tumpuan kepada dunia lakonan.
Selepas bersara daripada arena kompetitif, Carano muncul dalam beberapa filem Hollywood termasuk Haywire dan siri popular The Mandalorian, manakala Rousey aktif dalam WWE serta filem seperti Fast & Furious 7 dan The Expendables 3.
Pertarungan ini turut dianggap sebagai “legacy showdown” kerana kedua-dua legenda tersebut kembali beraksi selepas tempoh lama tidak aktif dalam MMA profesional.
Rousey kali terakhir bertarung di UFC pada 2016, sementara Carano tidak lagi bertarung sejak kekalahan kepada Cris Cyborg pada 2009.
Acara di Intuit Dome yang berkapasiti lebih 18,000 penonton itu dijadual berlangsung pada 17 Mei waktu Malaysia dengan kad awal bermula pukul 6 pagi manakala kad utama pada pukul 9 pagi.
-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.