BEKAS kapten England dan Chelsea, John Terry, memilih Perancis sebagai pasukan pilihannya untuk memenangi Piala Dunia 2026.
Perancis, naib juara tahun 2022, mara dengan mudah daripada pusingan kelayakan untuk mengesahkan slot ke kejohanan utama dengan lima kemenangan dan satu keputusan seri.
Les Bleus akan memulakan misi mereka untuk menjulang trofi buat kali ketiga -- selepas memenanginya pada 1998 dan 2018 -- dengan menentang Senegal di Stadium MetLife, New Jersey, awal pagi Rabu ini.
Dengan perlawanan menentang Iraq dan Norway menanti mereka selepas itu, Perancis, dengan pasukan penuh pemain bintang, dilihat sebagai pasukan pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan I dan mara ke peringkat kalah mati.
Ditanya pasukan mana yang dirasakannya akan menjulang trofi buruan dunia bola sepak itu, Terry berkata kepada TimesLIVE: "Saya terpaksa memilih Perancis. Saya rasakannya berdasarkan kedalaman skuad mereka dan pilihan jentera serangan yang mereka ada: (Desire) Doue, (Michael) Olise, (Kylian) Mbappe, (Ousmane) Dembele, (Rayan) Cherk, ia seperti tiada kesudahan.
"Pertahanan mereka juga bagus, bahagian tengah mereka sangat bagus, saya rasa mereka mempunyai skuad yang sangat mantap dan mereka juga kelihatan berada di tahap keyakinan yang tinggi ketika ini.
"Mereka juga mempunyai pemain-pemain PSG (Paris Saint-Germain) yang baru sahaja meraih kemenangan besar di peringkat Eropah.
"Saya harap jangkaan saya salah, saya harap England menang tetapi saya fikir Perancis mempunyai peluang yang sangat baik." -Stadium Astro