KUALA LUMPUR: Selepas penantian selama 44 tahun, 98 keluarga Rumah Panjang Bukit Kiara bakal menerima dua unit rumah secara percuma menerusi projek perumahan baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata penduduk akan berpindah ke kediaman baharu selepas projek itu siap dibina, manakala rumah panjang sedia ada boleh terus didiami sepanjang tempoh pembinaan.
“Kita ambil pendekatan ini kerana kita tak nak jika rumah mereka dirobohkan dulu, mereka kena berpindah keluar, pergi cari rumah untuk disewa. Saya tak nak komuniti ini hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menyentuh soal pemeliharaan Taman Rimba Kiara terletak berhampiran, Hannah berkata pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja, manakala baki tanah akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.
Jelasnya, usaha tersebut telah dilaksanakan sejak 2018 melibatkan penduduk, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Friends of Bukit Kiara (FOBK) serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan penduduk mendapat rumah yang lebih bermaruah tanpa menjejaskan pemeliharaan Taman Rimba Kiara.
“Penyelesaian yang dicapai hari ini bukan berlaku dalam sehari. Ia merupakan hasil pelbagai siri perbincangan, rundingan dan mesyuarat yang melibatkan pelbagai pihak selama bertahun-tahun,” katanya.
Hannah turut memaklumkan audit bersama akan dilaksanakan melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), FOBK dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Menurutnya, audit tersebut bertujuan memastikan pengurusan, pemeliharaan dan perlindungan pokok-pokok di kawasan pembangunan dilaksanakan dengan baik.
"Taman Rimba Kiara dapat diselamatkan dan penduduk rumah panjang pula memperoleh rumah baharu. Jadi, ini adalah penyelesaian menang-menang untuk semua pihak,” katanya lagi.
Pada masa sama, Hannah mengumumkan tapak kuil sedia ada akan dikekalkan serta dizonkan secara rasmi sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan kuil berkenaan.
Selain itu, jumlah tempat letak kereta untuk pengunjung Taman Rimba Kiara akan ditingkatkan daripada 80 kepada 150 lot menerusi skim pembangunan tersebut.