KUALA LUMPUR: Kem beregu lelaki Malaysia kekal sebagai taruhan utama negara pada Kejohanan Malaysia Masters 2026 selepas tiga pasangan berjaya mengesahkan slot ke suku akhir di sini hari ini.
Mengetuai cabaran, pilihan utama dan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terus menampilkan aksi meyakinkan apabila mudah menewaskan gandingan Perancis Julien Maio-William Villeger 21-12, 21-10 dalam tempoh 30 minit pada pusingan kedua di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini semalam.
Juara dunia 2022 itu akan menentang wakil China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi bagi merebut tempat ke separuh akhir selepas gandingan bukan pilihan tersebut menewaskan pasangan India Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun 21-14, 21-15.
Wooi Yik berkata kemenangan itu hadir selepas mereka dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik berbanding aksi pusingan pertama menentang beregu Singapura Wesley Koh-Kubo Junsuke yang berkesudahan 19-21, 21-10, 21-12.
“Kami sudah menyesuaikan diri dengan bulu tangkis dan bermain lebih rapi. Kami juga tidak banyak melakukan kesilapan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Aaron pula berkata mereka tidak akan memandang mudah lawan seterusnya walaupun telah menewaskan Ke Yuan-Xiang Yi 22-20, 21-19 pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, April lepas.
Sementara itu, gandingan profesional yang juga pilihan ketiga Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara Chia Weijie-Teo Ee Yi 21-14, 21-12 dalam tempoh 29 minit.
Walaupun meraih kemenangan selesa, Sze Fei berkata masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Sze Fei-Nur Izzuddin akan menentang sama ada pilihan kelapan dari Jepun Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi atau pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh pada saingan suku akhir.
Turut melangkah ke pusingan berikutnya ialah pilihan kelima Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang menewaskan rakan senegara Kang Khai Xing–Aaron Tai 21-12, 22-20 untuk mengesahkan pertemuan suku akhir menentang gandingan Amerika Syarikat (AS) Chen Zhi Yi-Presley Smith.
Wakil AS itu menjadi penghalang kepada pertembungan sesama beregu Malaysia di suku akhir selepas menewaskan beregu profesional Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-14, 21-18 pada pusingan kedua.
Malaysia Masters 2026 yang bermula 20 Mei hingga 24 Mei ini, menawarkan jumlah hadiah keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).
-- BERNAMA