Skip to main content

Sukan

Lebih lima pasukan "intai" khidmat Hakim Danish untuk musim depan

SEPANG, 14 Julai -- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli ketika ditemui media selepas merangkul kejuaraan sulung Moto3 musim ini pada Grand Prix (GP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli ketika ditemui media selepas merangkul kejuaraan sulung Moto3 musim ini pada Grand Prix (GP) di KLIA, hari ini. - Foto Bernama

SEPANG: Lebih lima pasukan Moto3 dan Moto2 menunjukkan minat untuk menagih khidmat pelumba sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli sebagai pelumba mereka pada musim hadapan, menurut Pengurus Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Racing Zulfahmi Khairuddin. 

Zulfahmi berkata kesemua pasukan berkenaan berprofil tinggi dan serius mendapatkan khidmat pelumba yang kini bernaung di bawah AEON Credit-MT Helmets-MSi itu. 

Beliau berkata perbincangan awal sudah mula dijalankan bagi meneliti tawaran terbaik demi masa depan karier pelumba berusia 19 tahun itu, termasuk dari segi hala tuju program pembangunan bakat, kestabilan pasukan, serta jentera yang bakal disediakan. 

“Sewaktu saya berada di Jerman, memang banyak pasukan datang berjumpa dan saya juga bertemu dengan mereka. Sasaran utama saya masih untuk berbincang dengan pasukan sekarang tetapi pada masa sama saya melihat beberapa pilihan lain.

“Saya tidak berunding dengan pasukan yang berada di bawah tahap MT Helmets-MSi kerana kalau nak berjaya, kita perlu berada dalam pasukan yang mampu bersaing merebut kejuaraan dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Hakim Danish di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. 

Zulfahmi berkata keputusan mengenai destinasi Hakim Danish musim depan tidak akan dibuat berdasarkan nilai kontrak semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek keserasian dengan pasukan dan peluang untuk melangkah lebih jauh hingga ke kelas utama iaitu Grand Prix Motosikal (MotoGP).

"Dalam sukan permotoran, prestasi adalah segala-galanya. Kita tak boleh buat keputusan mengikut emosi atau wang ringgit sahaja. Apa yang lebih penting ialah motosikal yang kompetitif, barisan kru yang baik dan persekitaran sesuai untuk pelumba berkembang.

"Kalau kita berpindah sekalipun, saya mahu pastikan Hakim Danish berada dalam persekitaran terbaik. Bukan semua kru Eropah sesuai bekerja dengan pelumba Malaysia, jadi semua perkara itu perlu dinilai dengan teliti," ujarnya.

Dalam pada itu, Zulfahmi berkata pasukan semasa Hakim Danish, MT Helmets-MSi juga sedang menunggu keputusan daripada pihaknya kerana hampir keseluruhan barisan pelumba mereka bagi musim depan telah dimuktamadkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement