KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu lelaki negara Nur Izzuddin Ramsani dan Goh Sze Fei atas kejayaan merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta semalam.
Beliau berkata kejayaan itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk menjulang gelaran juara beregu lelaki Terbuka Indonesia.
"Terima kasih atas semangat juang luar biasa yang menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia, dan membanggakan negara.
"Rakyat Malaysia sentiasa di belakang anda berdua," katanya menerusi hantaran Facebook semalam.
Pasangan ranking kelapan dunia itu muncul juara beregu lelaki selepas menewaskan wakil Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10.
-- BERNAMA